Negara Islam harus berhenti mengeluarkan taktik yang terbukti tidak berkesan seperti kutukan, demonstrasi untuk memprotes, memboikot produk untuk menyatakan kemarahan mereka terhadap pencerobohan Israel terhadap Palestin.
Sudah lebih tujuh dekad penindasan Israel terhadap rakyat Palestin. Kini tiba masanya negara Islam mengambil langkah drastik membantu rakyat Palestin di Semenanjung Gaza atau Tebing Barat mencapai kebebasan daripada penjajahan.
Ini amat mendesak kerana bangsa pembunuh Israel dengan jelas mengatakan bahawa mereka akan bersungguh-sungguh untuk menyerang Semenanjung Gaza kerana serangan mengejut Hamas terbaru kali ini.
Pertama, menuntut beberapa negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel membekukan atau memutuskan hubungan mereka dengan Israel, termasuk Mesir, Jordan, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Sudan dan Maghribi. Jika mereka gagal berbuat demikian, semua negara Islam harus membekukan dan memutuskan hubungan diplomatik juga dengan mereka (negara Islam yang ada hubungan dengan Israel);
Kedua, semua negara Islam mesti bekerjasama erat untuk merangka rancangan bagi menghantar bantuan segera kepada rakyat Palestin, khususnya di Gaza, termasuk bekalan ketenteraan.
Negara Islam mempunyai tentera profesional dan peralatan ketenteraan moden. Semua aset ketenteraan ini boleh digunakan untuk mempertahankan rakyat Palestin; dan,
Ketiga, semua negara Islam harus mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam semua tindakan kejam Israel terhadap rakyat Palestin. Mereka harus mendesak PBB menghantar bantuan kemanusiaan dan ketenteraan segera untuk melindungi rakyat Palestin.
Sekiranya PBB gagal memenuhi mana-mana tuntutan ini, semua negara Islam harus menarik balik keahlian mereka dalam PBB. Tanpa negara Islam, PBB akan menjadi pincang dan lemah kerana bilangan negara Islam adalah besar, dan banyak negara Islam ini mempunyai rizab sumber asli yang luas.
Walaupun cadangan ini drastik, negara-negara Islam tidak mempunyai pilihan lain. Kita tidak boleh membiarkan rakyat Palestin terus hidup di bawah penjajahan.
DR MUZAFFAR SYAH MALLOW