30 September : Walau apa pun alasan kerajaan terhadap harga beras yang meningkat sekali ganda kini, rakyat tetap marah dan kecewa dengan kegagalan kerajaan dalam membendung kenaikan harga makanan ini.
Perasaan itu disuarakan oleh Pengerusi Pusat Komuniti Bijak Larkin, Razrul Anwar Rusli.
“Tiada alasan yang boleh rakyat kebanyakan terima, jika yang kerajaan yang berkuasa tidak boleh menyelesaikan masalah ini, siapakah lagi yang boleh rakyat harapkan ?”, soalnya.
Tambah beliau lagi, keadaan menekan ini akan memberikan impak negatif kepada kerajaan madani jika pihak bertanggungjawab tidak berjaya menyelesaikan bebanan harga keatas rakyat dengan segera.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff pula berkata, penawaran harga beras yang berbeza-beza antara petani, pengilang, pemborong dan peruncit menyebabkan ketidaktentuan nilai barangan keperluan itu di pasaran. Ini berlaku terutama antara pengilang dan petani yang mana pembelian padi didapati dua kali ganda tinggi berbanding Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
“Jika di peringkat petani, pengilang terpaksa membeli beras atau padi daripada petani, Bernas menawarkan sebanyak RM1,350 per tan metrik. Tetapi wujud kilang-kilang membeli dengan harga yang lebih mahal iaitu RM1,750 per tan metrik, perbezaannya adalah RM400. Jadi petani akan memilih pengilang dengan penawaran yang lebih tinggi. Jika melibatkan orang tengah pula apabila sampai ke pintu kilang, harga menjadi RM2,700 per tan metrik manakala sekilogram (kg) RM2.70 dan 10kg pula RM27,” katanya di rancangan (SINAR LIVE) bertajuk ‘Siapa dalang beras mahal?’ yang dihoskan oleh Haizir Othman.
Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (KPB) KPKM, Datuk Azman Mahmood, Â pula menyalahkan kenaikan harga beras import, sekaligus menyebabkan harga Beras Putih Tempatan (BPT) dalam negara meningkat tinggi.
Peningkatan harga beras putih import memberi kesan kepada industri padi dan beras negara kerana ia mendorong peningkatan permintaan pengguna kepada beras putih tempatan.
Kenaikan harga beras putih import bukan saja berlaku di Malaysia namun turut melanda pasaran global sehingga menyebabkan pengguna cenderung membeli BPT yang dijual pada harga dikawal iaitu RM2.60 sekilogram atau RM26 sekampit.
Untuk rekod, harga beras global bulan lalu mencecah paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun, selepas India yang juga pengeksport utama mengharamkan penjualan makanan ruji itu di luar negara.
“Ketidakpastian mengenai tempoh larangan dan kebimbangan terhadap sekatan eksport menyebabkan mereka yang memegang bekalan rantaian menahan stok, merundingkan semula kontrak atau berhenti membuat tawaran harga. Tindakan itu mengehadkan kebanyakan perdagangan kepada jumlah kecil dan jualan yang sebelum ini dimuktamadkan,” kata agensi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) itu.
Beras adalah makanan ruji utama dunia dan harga di pasaran antarabangsa melonjak berikutan pandemik COVID-19, perang di Ukraine dan kesan fenomena cuaca El Nino ke atas tahap pengeluaran.
Julai lalu, India mengumumkan larangan eksport beras putih bukan basmati yang menyumbang kira-kira satu perempat daripada jumlahnya.
India menyumbang lebih 40 peratus daripada semua penghantaran beras global.
Larangan itu dijangka memberi impak kepada negara-negara Afrika, Turkiye, Syria dan Pakistan, yang kesemuanya bergelut dengan inflasi tinggi.
Filipina, antara pengimport utama beras dunia mencapai perjanjian lima tahun dengan Vietnam, untuk membeli beras.