KUALA LUMPUR (5 Sept): Kos membangunkan pangkalan data pusat Malaysia Maritime Single Window (MMSW) akan ditanggung oleh pihak pengurusan pelabuhan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Loke berkata pembangunan MMSW, yang dijangka berjumlah kira-kira RM20 juta, adalah selaras dengan keperluan kepantasan untuk perniagaan, dan sistem MMSW dijangka dapat menyelesaikan isu seperti pelepasan kargo yang keluar masuk negara.
“Kelewatan dalam pelepasan kargo adalah kos kepada peniaga,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Meja Bulat Global Shippers di sini pada Selasa.
Sesi meja bulat itu bertemakan “Navigating the Waves of Unpredictability: Building Shippers’ Resilience for the Next Normal – Melayari Gelombang Ketidakpastian: Membina Ketahanan Penghantar untuk Normal Seterusnya”.
Menteri itu berkata semua negara anggota Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO – International Maritime Organisation) dikehendaki membangunkan MMSW mereka pada 1 Jan 2024, bagi membolehkan semua maklumat yang diperlukan oleh pihak berkuasa awam berkaitan ketibaan, berlabuh dan berlepas kapal, tenaga kerja dan pengurusan kargo dihantar dalam sistem elektronik.
“Dengan pelaksanaan MMSW, kami menyasarkan untuk memenuhi kewajipan kepada IMO dan membantu meningkatkan kecekapan pelabuhan.
“Kita berharap ini akan membantu mengurangkan birokrasi, meningkatkan keberkesanan pelabuhan kita, mengurangkan masa operasi dan meringankan beban kos untuk pengirim,” kata Loke.
Sebelum ini, menteri berkata pengusaha pelabuhan di negara ini perlu berurusan dengan 12 agensi sebelum kapal boleh berlabuh termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia serta pihak berkuasa pelabuhan.
Beliau berkata sistem MMSW akan dilaksanakan terlebih dahulu di pelabuhan Klang dan Johor menjelang suku keempat tahun ini.