Terbukti gabungan kerajaan perpaduan merupakan pilihan rakyat Malaysia apabila keputusan PRN15 diumumkan. Namun, goncangan dan peralihan kaum Melayu beralih kepada Perikatan Nasional (PN) adalah dijangka.
Naratif utama PN adalah kaum, agama dan DAP. Sudah tentu berjaya di penempatan bermajoriti Melayu. Naratif yang sama digunakan oleh UMNO untuk menyerang PH Bersatu (PH 1.0) pasca PRU14. Ia naratif yang berjaya, hingga tewasnya PH 1.0 di banyak PRK hinggalah kejatuhan kerajaan ketika itu selepas hanya 22 bulan mentadbir sahaja. Begitulah kuatnya naratif ini.
Kemudian kerajaan disambung oleh gagasan baru, PN yang diketuai oleh Bersatu, PAS dan juga UMNO. Pada mulanya ia dilihat sebagai wadah penyatuan Melayu. Namun Bersatu dan UMNO tidak boleh bersama, banyak pertindihan, sama seperti PAS dan Amanah yang tidak akan mungkin menyatu.
Desakan demi serangan kepada Bersatu yang dimainkan oleh UMNO kerana mendakwa pentadbiran Muhyiddin Yassin telah gagal dan meranapkan ekonomi negara semasa wabak Covid19 serta menggunakan darurat untuk terus kekal berkuasa dimainkan dengan agresif. Ia berjaya. Rakyat setuju ketika itu bahawa Muhyiddin perlu turun. Majlis raja-raja juga tidak selesa dengan kerajaan Muhyiddin ketika itu. Rakyat, orang Melayu kembali bersama UMNO ketika itu. Naratif ini sangat berjaya dan memberi kemenangan kepada UMNO untuk menang besar di Johor dan Melaka hingga Bersatu dan Amanah hilang penguasaan negeri-negeri tersebut. Seluruh pemimpin UMNO berganding bahu ketika ini kecualilah pemimpin UMNO yang berada dalam barisan kabinet.
Kesinambungan kerajaan PN diteruskan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri. Tetapi sayang, beliau tidak segera mengambil peluang ke atas kemenangan demi kemenangan BN untuk segera melakukan PRU. Jika tidak, UMNO BN tidak akan mengalami seteruk keputusan PRU15 dan berpotensi menjadi parti utama yang memimpin kerajaan pusat jika segera pembubaran parlimen dilaksanakan sewaktu BN popular.
Maka seperti mana-mana kerajaan era moden dan era ‘rakyat pintar’, kerajaan akan sering dipersalahkan dari semua segi dan pentadbiran Ismail Sabri terus ‘menghimpun liabiliti’ oleh kerana tidak segera membubarkan parlimen hingga populariti BN UMNO kembali merosot dan sokongan kepada Bersatu, PAS dan PH kembali meningkat melebihi UMNO BN.
Rakyat khususnya ahli-ahli BN UMNO dan PH perlu diperingatkan kembali kejadian-kejadian ini, supaya mereka tidak menyalahkan sesiapa di dalam prestasi buruk PRN15 semalam.
Sebenarnya keputusan BN untuk bersama PH adalah tepat, sama seperti Bersatu bersama PH 1.0 dahulu. Ia merupakan gabungan baru yang memerlukan usaha baru untuk menerangkan kepada akar umbi. Inilah kegagalan Bersatu dahulu apabila tidak berjaya melawan naratif UMNO yang memainkan isu DAP dengan agresif. Kini UMNO pula kembali terkena naratif yang sama, yang dimainkan oleh PN. Lebih teruk lagi kali ini pada UMNO ialah ia dicampur dengan masalah dalaman parti yang tidak selesai. Para pemenang pemilihan parti tidak berfungsi dengan berkesan, pemimpin-pemimpin lama setiap hari meratib keburukan UMNO dari luar dan dalam parti.
Perlu diingat PN sudah berusia 4 tahun. Kerajaan perpaduan baru 8 bulan. UMNO Â diingat jangan mengulangi kesilapan Bersatu dengan cepat berputus asa di dalam dinamika politik baru ini. Malah mereka harus berusaha dengan paling kuat sejak merdeka untuk memastikan UMNO terus relevan. Mereka perlu sedar, UMNO sudah berlalu zaman emasnya. Sekarang adalah dimana pemimpin dan ahlinya perlu bersusah payah semula.
Adalah terlalu dangkal apabila semata-semata menyalahkan Presiden UMNO tanpa bermuhasabah bersama dengan faktor-faktor lain. Sebagai seorang Presiden, beliau telah memilih yang terbaik buat UMNO pada dinamika politik baru kini, iaitu bersama PH menjadi kerajaan.
PH juga harus mempunyai pelan strategik dan sekali lagi sedia untuk ‘berkorban’ demi kemenangan dan pengekalan pemerintahannya. Penyokong dan pengundi PH adalah rata-rata terdiri di kawasan bandar, berfikiran kritis dan lebih matang berbanding pengundi luar bandar. Golongan ini tidak mudah terpengaruh dengan unsur kaum dan agama yang melampau. PH harus menerima pakai strategi yang sama seperti mereka berjuang pada GE14 lalu jika ingin mendapatkan undi Melayu melalui UMNO. UMNO perlu dibantu PH dengan pengorbanan.
UMNO BN begitu sinonim dengan orang Melayu sudah 60 tahun. Untuk memaksa mereka ini mengundi HARAPAN mungkin tidak dapat diterima oleh semua. Jadi kerajaan perpaduan hendaklah menggunakan satu lambang sahaja iaitu lambang dacing BARISAN NASIONAL.
Ini secara tidak langsung akan menggamit keyakinan orang Melayu kerana pengundi golongan inilah yang tidak berjaya PH BN mendapat undi dengan banyak. PH BN mempunyai kelebihan pada pengundi bandar dan pengundi DAP yang cerdik. Mereka akan lebih mudah faham dan menerima akan logiknya menggunakan lambang BN sebagai satu simbol kerajaan perpaduan. Ini terbukti oleh formula Tun Dr Mahathir dahulu semasa melawan BN di PRU14, iaitu menggunakan logo PKR.
Kenapa Tun Mahathir tidak menyarankan menggunakan logo PH ? Kerana warna ‘merah’ PH itu sinonim dengan DAP. PKR sinonim dengan Anwar Ibrahim, parti PKR, dan parti yang dipimpin oleh orang Melayu. Sejarah membuktikan, BN tumbang dengan panyatuan satu logo yang tepat oleh gabungan PH 1.0 ketika itu.
Kerajaan perpaduan boleh menguji menggunakan formula ini pada PRK Pulai tidak lama lagi. Pulai melambangkan demografi penduduk Malaysia yang sebenar di mana penduduknya terdiri daripada Melayu 50% dan selebihnya kaum-kaum lain.
Kelebihan PH BN adalah mereka mempunyai komposisi pengundi dari semua kaum termasuk sokongan daripada Sabah dan Sarawak. Jadi untuk memiliki lebih banyak lagi pengundi Melayu di kawasan luar bandar, sistem satu logo yang ‘selesa’ oleh pengundi Melayu boleh mula digunakan segera.
Dr Ibrahim Sabuki – Universiti Utara Malaysia , Sintok Kedah