Kuala Lumpur 13 Ogos : Setiausaha Agong Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kemenangan besar di Terengganu, Kedah dan Kelantan serta peningkatan undi PN di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan membuktikan sokongan rakyat kukuh dan yakin kepada pemerintahan PN.
Beliau juga yakin sokongan di peti undi PRN15 ini merupakan referendum rakyat kepada kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak peka terhadap isu-isu yang dihadapi rakyat.
Pada masa yang sama, Hamzah menzahirkan penghargaan kepada semua pengundi yang telah mengundi calon-calon PN dan para jentera PN yang telah bekerja kuat. “Walaupun ditekan dari segenap segi oleh sang pemerintah yang angkuh”, katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Hamzah memberikan komitmen bahawa PN akan terus berjuang bersama-sama rakyat untuk menjayakan Malaysia yang lebih baik, lebih telus dan lebih adil kepada semua pihak tanpa batas warna kulit, bangsa serta agama.
Keputusan PRN semalam menyaksikan status quo yang tidak berubah kepada penguasaan negeri iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan yang ditadbir oleh PAS PN manakala Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang masing-masing kekal pada PKR dan DAP dari gabungan PH.