Sehari lagi sebelum kempen pilihanraya enam negeri akan berakhir. Jika dilihat dari pengamatan dan dapatan Berita Tular, gabungan utama yang bersaing, masing-masing mempunyai peluang, kelebihan dan kelemahan tersendiri. Sudah tentu Perikatan Nasional (PN) yang diketuai PAS bersama Bersatu dan Gerakan dilihat berjaya di kawasan pinggiran dan perkampungan. Manakala BN yang bersama gabungan Pakatan Harapan (PH) akan mengharapkan bank votes kawasan bandar dan bukan Melayu untuk menang.
Ini kerana orang Melayu sudah berpecah-belah. Satu pihak mahu meneruskan legasi parti memperjuangkan hak Melayu dari zaman kemerdekaan, manakala satu pihak yang lain membawa naratif agama dan kedudukan orang Melayu terancam di bawah DAP.
Walaupun UMNO masih mempunyai ramai bank votes pengundi Melayu dan ahli-ahli mereka, tetapi terdapat lebih ramai pengundi atas pagar muncul di kalangan mereka sendiri. Golongan ini di dalam dilema untuk mengundi BN ataupun PN.
Tidak dapat dinafikan jasa semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2020 dan 2021 yang banyak memberi bantuan dan wang, kira-kira RM1,500 sebulan kepada rakyat yang terkesan semasa Covid19 dahulu menjadi ‘kenangan’ kepada penduduk kampung majoritinya.
Sebab itu di minggu pertama kempen di Selangor, PN telah mendapat kelebihan pada awal tempoh kempen dari 29 Julai hingga 12 Ogos. Terdapat 56 DUN kerusi untuk dimenangi di negeri ini. Terdapat 10 daripada DUN terletak di pinggir Selangor, di sepanjang pantai barat dan koridor timurnya.
Berita Tular mendapati bahawa lebih mudah untuk bertemu dengan penyokong PN daripada bertemu penyokong PH BN, terutamanya bagi pengundi Melayu. Penyokong Pakatan Harapan (PH) jarang dilihat dan malu untuk mengakui bahawa mereka menyokong pentadbiran pimpinan Anwar.
PN nampaknya amat berjaya dalam menanamkan naratifnya, kerana majoriti orang Melayu yang ditemui, akan bersuara berkenaan isu agama, kaum, DAP, sara hidup dan barang mahal.
Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) November lalu telah menunjukkan perubahan ketara dalam populariti oleh pengundi Melayu. Sebelum PRU15 populariti itu ada pada BN, yang menang banyak pilihanraya-pilihanraya kecil dan menang PRN di Johor dan Melaka, tetapi kecundang pada PRU15 apabila pengundi menukar sokongan mereka kepada PAS.
Keluhan orang Melayu kebanyakannya adalah berkenaan isu peringkat nasional, seperti rasa tidak puas hati terhadap presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan kesusahan ekonomi yang berterusan berpunca daripada inflasi dan kos sara hidup. Ahli-ahli UMNO di kawasan kampung di dalam dilema untuk mengundi BN atau PN kali ini.
Walaupun ada yang berkata bahawa mereka boleh menerima kerjasama BN dengan DAP, kerana PN mungkin akan melakukan yang sama jika untuk memerintah kerajaan persekutuan, tetapi mereka tidak selesa akan tindak-tanduk Zahid sejak kebelakangan ini seperti memecat pemimpin UMNO dan ada juga yang mempersoalkan kenapa beliau masih menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri walaupun mempunyai kes di mahkamah.
Penerangan-penerangan dari UMNO nampaknya gagal dan tidak sampai kepada akar umbi mereka. Manakala segala informasi aspek negatif parti itu telah tertanam di dalam pemikiran orang Melayu sejak PRU14 dahulu lagi, terutamanya kepada Zahid.
Keberkesanan propaganda PN terhadap nilai agama konservatif juga terserlah terutama kepada anak muda Melayu. Dicampur dengan propaganda kos sara hidup terkini yang mahal dan segala-galanya telah meningkat. Mereka membandingkan semasa Muhyiddin menjaga negara dalam tempoh yang singkat, keadaan nampak baik-baik saja.
Isu LGBT yang dimainkan pembangkang juga berjaya membuat pemuda Melayu luar bandar tidak selesa dengan pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, seolah-olah nampaknya agak tidak ketat mengekangnya, dengan kehadiran artis-artis antarabangsa yang tidak mengikut norma budaya Malaysia.
Terdapat juga harapan dari orang Melayu Selangor, apabila PN menang kelak, mereka mahu PN menutup semua industri ‘berdosa’ di Selangor seperti judi dan pusat hiburan, sama seperti di Kelantan dan Kedah.
Orang Melayu di Selangor menyalahkan kerajaan akan masalah sosial yang melanda keluarga mereka seperti orang Melayu berjudi dan minum arak.
Bagaimanapun, setelah menjadi penyandang selama 15 tahun, Selangor dilihat sebagai kubu kuat PH dan secara meluas dijangka gabungan itu mempunyai bank undi bandar yang hebat untuk diharapkan.
Penyokong tegar PH mungkin berhujah bahawa pandangan pengundi di pinggir dan perkampungan di Selangor mungkin tidak mewakili seluruh negeri, dengan penduduk bandar lazimnya mempunyai pertimbangan yang berbeza dalam pilihan mengundi mereka, seperti keadaan pembangunan dan prestasi ekonomi.
Namun begitu, terdapat juga pengundi Melayu di pinggir Selangor yang tidak bersetuju dengan naratif PN bahawa PRN kali ini adalah bersamaan dengan referendum nasional terhadap pentadbiran PH-BN.
Bagi golongan ini, mereka berpendapat jika Anwar tidak melakukan apa-apa selepas satu atau dua tahun berkuasa, ya, mungkin ada yang tidak kena. Tetapi ini baru sahaja lapan bulan, golongan ini berpendapat Anwar berhak mendapat sedikit masa lagi.
Mereka memahami bahawa jika tempoh perkhidmatan terlalu singkat, sukar untuk menunjukkan atau melakukan apa-apa.
“Katakan saya mahu membina jambatan. Saya rasa untuk mendapatkan semua pelepasan yang diperlukan itu sendiri mungkin mengambil masa setahun,” kata Ahamad Shuib, 45, peniaga Satay di pasar malam Meru.
Lebih dekat dengan kawasan bandar, sentimen nampaknya lebih memihak kepada kerajaan perpaduan. Golongan ini mementingkan kestabilan politik adalah kunci kepada kemakmuran negara, bukan politik ‘tukar-menukar’ kerajaan sepanjang masa, untuk keadaan ekonomi yang lebih baik. Asalkan kerajaan berwibawa, tidak kira pihak mana atau siapa yang terlibat. Hak Melayu perlu dilindungi di bawah perlembagaan persekutuan. Mereka juga bersetuju bahawa amat berbahaya untuk memainkan isu akhirat dalam pengundian.
Mereka percaya tiada jalan penyelesaian yang mudah kepada cabaran ekonomi semasa negara, justeru ia akan menyukarkan mana-mana pihak yang akan berkuasa jika asyik bertukar-tukar kerajaan dan pembangkang tidak memainkan peranan yang sepatutnya iaitu check and balance dalam polisi serta dasar kerajaan. Pembangkang Malaysia kini dilihat sebagai terlalu rakus untuk menumbangkan kerajaan tanpa mengira waktu.
Terdapat juga sebilangan kecil pengundi Melayu yang memilih calon yang berwibawa, bukan dari mana-mana parti, merupakan kriteria paling penting dalam memilih ADUN mereka.
“Selagi mereka [adun] bekerja, parti mana pun tidak mengapa. Untuk kawasan ini, infrastruktur awam seperti keadaan jalan raya dan pembetungan memerlukan penambahbaikan. Majlis tempatan nampaknya tidak proaktif. Perkara-perkara ini tidak banyak kita bincangkan, tetapi kita ambil kira semasa mengundi,” kata Salleh Kamaruddin di Sungai Ramal.
Malaysia akan mengetahui kesemua persoalan dan dapatan ini benar atau tidak pada peti undi di enam buah negeri Sabtu ini.
Dapatan team editorial Berita Tular