KUALA TERENGGANU: Calon berpengalaman dan profesional menjadi taruhan Barisan Nasional (BN) Terengganu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.
Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, selain yang berpengalaman, tiga orang calon mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD), seorang doktor perubatan dan seorang lagi bekas Timbalan Ketua Nazir Sekolah Kanan (Perancangan Penaziran Kementerian Pendidikan Malaysia)
Menurutnya, setiap calon yang dipilih mempunyai latar belakang yang hebat dari segi pengalaman kerjaya dan politik, kepakaran dan ramai juga calon muda yang ditampilkan memang sentiasa dekat dengan hati pengundi.
Ia adalah daripada gabungan lama dan baharu. UMNO yakin calon yang ditampilkan ini mampu memahami permasalahan dan keperluan rakyat terutama golongan muda yang baru pertama kali mengundi.
“Mereka perlu disedarkan bahawa tanggungjawab memilih sangat penting kerana kerajaan negeri yang dipilih nanti akan menentukan masa depan mereka seperti peluang pekerjaan, pemilikan rumah dan bantuan sosial yang lain,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan manifesto BN Terengganu di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu semalam.
(Ahmad Said mempengerusikan mesyuarat bersama bakal calon BN dalam PRN di Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI)
Mengenai keyakinan merampas semula pentadbiran negeri daripada Pas, Ahmad berkata, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu, parti itu tewas kerana 20 peratus undi penyokong setia UMNO telah beralih kepada Pas.
“Jika kita dapat kembalikan 20 peratus undi ini kepada UMNO, insya-Allah kita boleh menang di Terengganu.
“Dengan pelbagai tawaran manifesto BN Terengganu yang realistik serta calon-calon muda yang dipertaruhkan, kita yakin sokongan anak muda akan berpihak kepada UMNO kali ini,” katanya.