spot_img
spot_img

Tanjung Malim Autocity terbesar di rantau ini

spot_img

SABAK BERNAM: Pembuat kereta China, Geely mengumumkan pelaburan berjumlah AS$10 bili­on (RM45.4 bilion)untuk menjadikan Tanjung Malim auto city terbesar di rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat itu yang disampaikan syarikat ber­kenaan dalam surat kepada be­liau pada malam kelmarin, akan mewujudkan ribuan pelu­ang pekerjaan kepada rakyat Ma­laysia.

“Ini kali pertama saya hendak sebut, Geely yang buat kereta dengan Proton, dia menulis kepada saya 10 halaman muka surat panjang, beritahu hendak terus jadikan Tanjung Malim sebagai auto city yang terbesar di rantau ini,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor, semalam.

- Advertisement -

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan bahawa kerajaan Arab Saudi dan syarikat gergasi minyak dan gas (O&G) negara itu, Aramco turut memutuskan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat perkembangannya di Asia Tenggara.

“Ketua Pegawai Eksekutif Aramco, Amin Nasser telah memaklumkan kepada saya bahawa Aramco selesa dengan dasar dan kepimpinan kerajaan dan telah memutuskan untuk menjadikan Malaysia hab pengembangan O&G Arab Saudi di Asia Tenggara.

“Secara kebetulan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menunaikan haji (baru-baru ini) dan duduk di sebelah Putera Mahkota Saudi, Mohammed Salman Al Saud, menceritakan bahawa tumpuan utama pelaburan Asia Arab Saudi berada di Malaysia,” katanya.

- Advertisement -

Tambah Anwar, selain Geely dan Aramco, Elon Musk, orang terkaya di dunia dari Amerika Syarikat (AS), turut menyatakan hasrat beliau hendak membuka ibu pejabat di Cyberjaya.

“Beliau (Musk) beritahu tiga perkara, satu, ibu pejabat Tesla kenderaan elektrik yang besar di dunia. Kedua, Starlink, makna internet. Kalau di Sekinchan tak ada internet, dia boleh pasang atas bumbung, dia boleh cover kawasan, tak payah ambil 5G yang mahal-mahal, itu banyak di bandar,” katanya.

Tambah beliau, semua pe­laburan itu dibuat bukan untuk mendapatkan komisen atau hadiah, tetapi untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara dan beribu-ribu anak muda tempatan akan mendapat pekerjaan.

Beliau turut menyatakan bahawa negara berjaya menarik pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM71.4 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini. Jumlah pelaburan itu tidak termasuk pelaburan yang akan dibuat oleh Geely, Aramco dan Musk.

Perdana Menteri menambah, peningkatan pelaburan asing susulan keyakinan terhadap dasar kerajaan, kestabilan politik dan integriti yang diamalkan oleh Kerajaan Perpaduan dalam tempoh lapan bulan sejak memegang tampuk pemerintahan.

Jelasnya, keyakinan dan kemasukan pelabur asing itu juga disumbang secara tidak langsung oleh pihak berkuasa seperti polis dan tentera yang menjaga serta memastikan keamanan negara.

Justeru, beliau sekali lagi mengingatkan peruntukan sebanyak RM400 juta kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya dimanfaat bagi membaik pulih kemudahan pasukan keselamatan itu.

 

UTUSAN

 

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img