PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton, telah memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan tiga syarikat pembidaan dalam talian (EBC) yang terkenal untuk memudahkan proses penjualan tukar beli kereta untuk pelanggan.
Dengan perjanjian bersama EBC termasuk myTukar, MUV dan CARSOME, syarikat itu yakin telah mengambil langkah penting ke arah cara yang lebih pantas dan cekap untuk pelanggan memiliki kereta baharu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, syarikat sangat teruja untuk bergabung tenaga dengan tiga syarikat e-pembidaan kerana mereka percaya ini
mengubah pengalaman tukar beli untuk pelanggan Proton.
“Dengan memanfaatkan kepakaran mereka dalam platform e-dagang dan bidaan, EBC menawarkan pelanggan kami penyelesaian yang lancar dan boleh dipercayai untuk
menjual kereta mereka, sambil turut menerima nilai tukar beli yang kompetitif,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Roslan, memandangkan jumlah jualan terus meningkat, keperluan untuk menawarkan cara yang lebih baik untuk menukar dan melupuskan kereta lama pelanggan telah menjadi jelas.
Ujarnya, perjanjian itu dijangka memberikan pelanggan pelbagai faedah, termasuk kemudahan yang dipertingkatkan, kebolehpercayaan, nilai tukar beli yang kompetitif, ketelusan
dalam penetapan harga, pembayaran yang selamat dan pemindahan pemilikan, lelongan harian, penjualan yang lebih pantas dan pemeriksaan menyeluruh.
“Sejak lima tahun lepas, Proton telah menambah rangkaian model yang ditawarkan dan mengemas kini barisan semasa kami, sambil meningkatkan kualiti produk dan memperkenalkan teknologi ketersambungan dalam model kami.
“Keyakinan pengguna telah meningkat disebabkan usaha ini serta penambahbaikan yang dibuat di peringkat pengedar.
“Kerjasama dengan EBC akan membantu meningkatkan usaha ini serta nilai model kami sambil membantu memudahkan pelanggan yang berhasrat untuk menaik taraf kenderaan mereka,” katanya.
Jelas beliau, kerjasama Proton dengan EBC akan membolehkan pelanggan menghantar kenderaan mereka untuk dilelong melalui platform dalam talian yang mesra pengguna.
Katanya, itu mengurangkan keperluan pelanggan untuk melawat berbilang pengedar atau berunding dengan bakal pembeli, menjimatkan masa mereka.
“Melalui sistem lelongan yang adil dan terbuka, pelanggan akan dapat menerima nilai tukar beli yang kompetitif untuk kenderaan mereka.
“Model penetapan harga yang telus memastikan pelanggan boleh membuat keputusan termaklum semasa proses tukar beli manakala proses pembayaran dan pemindahan pemilikan dipercepatkan untuk mengurangkan potensi kelewatan atau komplikasi, memberikan pelanggan pengalaman yang lancar.
“Proton ialah OEM pertama yang membentuk perjanjian strategik dengan EBC dan kami fikir ini akan membantu membuka jalan kepada transaksi tukar beli yang lebih pantas dan lebih telus untuk pelanggan dan seterusnya membantu memacu jualan kereta baharu.
“Selain itu, dengan menggunakan platform terbuka, nilai jualan semula untuk model kami boleh dipertingkatkan, dan ini membantu membina keyakinan pengguna dan memberi gambaran
pemilikan yang lebih jelas kepada pembeli,” katanya.
Jendela Biz menyediakan Tawaran Perniagaan Digital MyCarKit
Terbuka buat semua usahawan yang berminat untuk menceburi bidang automotif. Platform online tersedia dan terus menjalankan bisnes dengan memperoleh keuntungan dalam masa yang singkat. Hubungi 0124216051 atau support@jendela.biz untuk info lanjut