JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengingatkan barisan menteri dalam Kabinet supaya mengutamakan kepentingan nasional berbanding persaingan dalam politik.
Jokowi menyampaikan pesanan itu ketika menghadiri Sidang Kabinet di Istana Presiden, di sini kelmarin.
“Fokus dan waspada mengenai sebarang risiko yang boleh berlaku.
“Utamakan kepentingan masyarakat dan nasional. Jangan disebabkan sibuk berpolitik dan bersaing sesama sendiri, program pembangunan negara terjejas,” katanya.
Jokowi turut menyatakan lebih banyak cabaran mungkin di hadapi Indonesia pada masa akan datang, terutamanya separuh kedua tahun 2023.
Katanya, situasi geopolitik global yang tidak stabil akibat pelbagai konflik terus meningkat.
Sehubungan itu, beliau berharap barisan menteri dan pemimpin semua agensi mengutamakan program pembangunan yang dirancang kerajaan.
“Dengan situasi semasa, ia memberi kesan kepada ekonomi dan aktiviti perdagangan negara kita.
“Ingin saya tegaskan bahawa industri eksport import ketika ini semakin melemah dan oleh hal yang demikian, kita perlu bekerja keras bagi memastikan keadaan stabil.
“Kita perlu memastikan pertumbuhan ekonomi yang positif pada separuh kedua 2023,” ujar Jokowi.
Sementara itu, pemimpin Indonesia juga mengingatkan menteri Kabinetnya supaya sentiasa menjada kebajikan rakyat kerana mereka adalah ‘kunci’ kepada kemajuan sesebuah negara.