JAKARTA: Kementerian Agama memfailkan bantahan terhadap penyediaan perkhidmatan haji oleh masyariq Arab Saudi berikutan masalah agihan makanan dan pengangkutan yang dihadapi jemaah negara itu tahun ini.
Ketua Pengarah Pengurusan Haji dan Umrah Kementerian Agama, Hilman Latief mengakui kesal dengan kelewatan Mashariq menyiapkan perkhidmatan jemaah haji Indonesia di Muzdalifah dan Mina.
“Kami sudah sampaikan bantahan keras kami kepada Mashariq berhubung masalah yang berlaku di Arafah, Mina dan Muzdalifah.
“Kami juga meminta agar semua hak jemaah haji Indonesia dipenuhi dengan sewajarnya. Mashariq tentu tahu bahawa Indonesia membawa jemaah haji terbesar. Seharusnya ada skema mitigasi yang lebih komprehensif dan cepat agar tidak merugikan jemaah yang sedang menjalankan ibadah,” kata Hilman dipetik Kompas.com.
Dalam pada itu, Anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Yandri Susanto yang turut berada di Arab Saudi berkata, ramai jemaah mengadu tentang kelewatan agihan makanan, pengangkutan bas dan khemah yang melebihi kapasiti.
“Banyak khemah yang sepatutnya diduduki jemaah haji Indonesia diisi oleh jemaah lain. Tilam yang disediakan juga tidak sepadan dengan jumlah jemaah. Malah di Mina, ada paip yang bocor hingga menyebabkan air kotor membanjiri khemah jemaah.
“Makanan untuk jemaah pula tidak diagihkan dengan betul. Keberangkatan dari Muzdalifah ke Mina turut mengalami kelewatan sehingga ramai jemaah kami terkandas.
“Jadi kita minta Kementerian Agama mengemukakan bantahan bertulis yang lebih tegas. Saya berpendapat kita boleh menuntut masyariq memulangkan wang yang dibayar kerana tidak mengikut peraturan kontrak yang mereka janjikan,” jelasnya.