PETALING JAYA: Tular di kalangan ahli-ahli parti Perikatan Nasional (PN) bahawa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainudin berselisih pendapat mengenai hala tuju parti Bersatu.
Khabar angin itu tercetus susulan laporan baru-baru ini yang mencadangkan bahawa Perikatan Nasional akan menggantikan Hamzah dengan individu lain sebagai ketua pembangkang di Parlimen.
Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, PN yang pengerusinya di sandang oleh Muhyiddin, sedang mempertimbangkan antara Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim atau Ahli Parlimen Ketereh Khlir Nor sebagai pengganti Hamzah.
Seorang pemimpin Bersatu, yang enggan namanya disiarkan berkata, Muhyiddin dan Hamzah berselisih pendapat berhubung hal-hal berkaitan bagaimana PN dan Bersatu sepatutnya beroperasi.
“Pada peringkat kepimpinan dan akar umbi, ikatan PAS dan Bersatu kukuh.
“Tetapi ada yang tidak selesa dengan pendekatan ‘Gelombang Hjau’,” kata sumber itu, merujuk kepada pendekatan perkauman dan agama yang dibawa oleh PAS.
“Di sinilah Muhyiddin dan Hamzah berselisih pendapat.”
Sumber itu berkata, kebanyakan pemimpin parti bersetuju bahawa Bersatu perlu memperkukuh jentera partinya sendiri kerana ia sedang diatasi oleh parti Islam itu.
Akar umbi Bersatu melihat parti mereka seolah-olah terlalu mengharapkan ‘orang luar’ di dalam memberi mereka kemenangan. Proses kekuatan akar umbi dan naratif jangka panjang tidak diberi penekanan oleh kepimpinan Bersatu sekarang.
Bersatu bagaimanapun tidak boleh menyalahkan PAS kerana parti Islam itu menguruskan partinga dengan baik.
Walaupun Bersatu baru tujuh tahun penubuhannya, tetapi mereka telah berjaya menjadi kerajaan dan mempunyai dua Perdana Menteri dalam masa yang singkat.
“Akibat kesalahan strategi, kekalahan demi kekalahan dibelengu oleh Bersatu hingga hilang negeri pentadbirannya iaitu Johor, dan kini kemenangan Bersatu pada PRU15 lalu dibayangi oleh pihak lain”, kata sumber itu.
Berhubung kepimpinan masa depan parti, sumber itu berkata, Hamzah mahupun Azmin Ali, yang turut menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), tidak boleh menggantikan Muhyiddin menerusi pemilihan parti akan datang disebabkan satu peruntukan dalam perlembagaannya.
Sumber itu berkata, perlembagaan parti memperuntukkan bahawa mereka yang ingin bertanding jawatan presiden parti, timbalan presiden atau naib presiden mesti menganggotai MPT sekurang-kurangnya dua penggal penuh.
“Jadi, tidak timbul isu siapa antara Hamzah atau Azmin harus memimpin, kerana ini akan memerlukan perlembagaan parti dipinda,” katanya.
(Muhyiddin dijangka tidak boleh dicabar sebagai Presiden Bersatu selagi perlembagaan tidak boleh dipinda)
Sementara satu lagi sumber dari Bersatu mendakwa perselisihan antara Muhyiddin dan Hamzah berpunca daripada peranan Azmin dalam parti.
Azmin, yang sedang dipersiapkan untuk menjadi “poster boy” akan datang untuk parti, terlibat dalam beberapa perbincangan peringkat tinggi yang tidak melibatkan Hamzah.
Semua keputusan nampaknya dibuat oleh penasihat Muhyiddin, dakwa sumber itu. Kelihatan seolah-olah ada “parti dalam parti”, tambahnya.
“Orang presiden” ini, menurut sumber itu, sudah ada sejak Bersatu ditubuhkan, dan sangat rapat dengan Muhyiddin sehingga tidak dapat diketepikan oleh beliau.
“Barisan kepimpinan baharu Bersatu, yang mungkin diketuai oleh Hamzah, harus mengambil alih untuk mengekalkan kehadiran politik yang kukuh.
“Bagaimanapun, Muhyiddin mahukan Azmin,” kata sumber itu.
Pada Sabtu lepas, Muhyiddin meletakkan tanggungjawab merampas Selangor daripada Pakatan Harapan pada PRN akan datang ke atas Azmin, sebagai pengerusi PN negeri.