PONDAN, mak nyah atau transgender bukanlah golongan yang wujud kesan daripada persekitaran moden, demokrasi dan kebebasan hak asasi sebaliknya sudah lahir sejak zaman Nabi Lut AS.
Transgender boleh dipecahkan kepada tiga kategori dengan setiap satu daripadanya harus didekati dengan pendekatan yang berbeza. Di dalam Islam, transgender diasingkan mengikut beberapa istilah seperti yang disebut dalam beberapa hadis Rasulullah SAW. Istilah pertama yang digunakan ialah ‘al-Mutashabbih’. Dari Ibnu Abbas, dia berkata; Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki. (HR Bukhari)
Perkataan al-Mutashabbih berasal daripada perkataan tashabbuh yang bermaksud menyerupai sesuatu. Justeru istilah al-Mutashabbih digunakan bagi kedua-dua jantina lelaki dan perempuan yang menyerupai jantina yang berlawanan dengannya.
Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini ditujukan kepada lelaki yang sengaja menyerupai perempuan dan dia memilih dengan sifatnya itu (al-Mutashabbihin), dan juga perempuan yang sengaja menyerupai lelaki (al-Mutashabbihat).
Istilah kedua adalah al-Mukhannath, dari Ibnu Abbas; Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan daripada kalangan lelaki dan melaknat orang yang menyerupai lelaki daripada kalangan perempuan, lalu Nabi SAW mengatakan; keluarkanlah (usir) mereka dari rumah kamu, maka Rasulullah SAW mengeluarkan Fulan, dan Umar mengeluarkan Fulan. (HR Bukhari)
Imam al-Nawawi menyatakan, “mukhannath adalah lelaki yang dalam pergerakan, penampilan dan bahasanya membawa perwatakan wanita. Mereka ini terbahagi kepada dua kelompok iaitu pertama, seseorang yang mempunyai ciri kewanitaan secara semula jadi, iaitu tidak mengada-adakan sifat itu dengan sendirinya.
Bagi kelompok ini, tiada ada kesalahan, dosa dan jangan malu dengan apa yang dijadikan ke atasnya selagi tidak melakukan perbuatan haram misalnya terbabit dengan pelacuran.
Kelompok kedua adalah berperwatakan seperti wanita dengan tujuan tidak bermoral, dan dia dikira melakukan dosa dan patut dipersalahkan. Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, mukhannath yang dimaksudkan dalam hadis itu adalah golongan lelaki yang meniru perwatakan, pakaian, perbuatan dan gaya percakapan wanita dengan sengaja dan berkecenderungan pada perlakuan erotik juga seksual. Golongan inilah yang dikutuk oleh Rasulullah SAW dan termasuk dalam golongan yang dilaknat.
Istilah ketiga disebut sebagai al-Mutarajjilat yang merujuk kepada kaum wanita yang menyerupai lelaki dari segi pakaian, percakapan dan perbuatan, berlawanan dengan sikap al-Mukhannath (lelaki menyerupai wanita).
Menyantuni dengan pendekatan berbeza
Rasulullah SAW menggunakan dua pendekatan berbeza dalam menghadapi golongan transgender ini. Daripada Aisyah RA, beliau menceritakan bahawa; “seorang mukhannath masuk menemui isteri-isteri Rasulullah SAW dan mereka menganggapnya sebagai Ghairu Ulil Irbah (orang yang tidak punya nafsu kepada wanita). Suatu ketika Rasulullah SAW masuk menemui isteri-isteri Baginda dan mukhannath itu ada bersama mereka.
Mukhannath itu sedang menceritakan mengenai sifat wanita (Taif) dengan berkata; ‘Wanita (Taif, anak-anak perempuan Ghaylan) itu jika menghadap ke depan maka ia menghadap dengan empat (lipatan), dan jika menghadap ke belakang maka ia menghadap dengan lapan (lipatan)’.
Mendengar perbualan itu Rasulullah SAW bersabda; ‘ketahuilah, aku melihat orang ini mengetahui apa yang ada pada wanita, maka jangan benarkan dia masuk bersama kalian.’ Mereka pun (isteri-isteri Nabi) akhirnya memakai hijab.” (HR Muslim dan Ahmad)
Menurut riwayat Abu Daud, mukhannath ini datang kepada isteri Rasulullah SAW untuk meminta makanan dan permintaan mereka itu dipenuhi. Malah mereka dilayan secara baik kerana ada hak untuk ditunaikan dalam membantu sesama manusia.
Ini diriwayatkan oleh al-Auza’i yang menyebutkan: “Wahai Rasululah SAW, sekiranya engkau usir dia sesungguhnya dia akan mati kelaparan. Maka Rasulullah SAW membenarkan mukhannath ini datang setiap jumaat dua kali, dia hanya datang meminta (makanan) dan kemudian pulang.” (HR Riwayat Abu Daud)
Kisah ini menunjukkan pendekatan pertama yang digunakan Rasulullah SAW terhadap golongan ini adalah dengan penuh hikmah dan rasional. Makanan adalah hak asas dalam kehidupan. Golongan mukhannath berhak mendapatkan hak itu justeru Rasulullah SAW memberi kebenaran untuk mereka datang pada hari yang ditetapkan.
Bagaimanapun di dalam hadis yang sama juga, Rasulullah SAW mengusir mukhannath. Cara ini boleh difahami sebagai bentuk kekerasan namun ada sebab dan alasan yang munasabah atas tindakan yang diambil. Menurut al-Imam al-Syawkani, Rasulullah SAW mengambil tindakan yang keras untuk mengusir mukhannath daripada rumah isteri baginda kerana tiga sebab utama.
Ada nafsu terhadap wanita
Pertama, sangkaan bahawa mukhannath tidak mempunyai nafsu terhadap wanita adalah salah. Ini boleh dilihat melalui perbualan mereka yang menceritakan mengenai anak Ghaylan (wanita Taif) seperti dinyatakan dalam hadis di atas.
Kedua, penceritaan mukhannath yang mengandungi sifat dan deskripsi mengenai wanita mendedahkan perkara yang tidak wajar kepada golongan berlawanan jantina. Walaupun mukhannath berperwatakan wanita, tetapi mereka adalah lelaki yang masih perlu menjaga batasan pergaulan. Oleh itu, Rasulullah SAW mengusir mereka daripada rumah isteri-isteri baginda.
Ketiga, mukhannath mempunyai ruang yang terbuka untuk melihat tubuh dan aurat wanita sekiranya mereka diberi peluang untuk duduk bersama-sama wanita. Bagi mengelakkan perkara yang meragui, tindakan yang diambil oleh Rasulullah SAW adalah dengan mengusir mereka.
Ini menunjukkan bahawa mukhannath juga mempunyai nafsu dan syahwat yang sama seperti lelaki biarpun mereka menyerupai wanita dalam pelbagai cara. Arahan dan tindakan mengusir mukhannath bukan atas dasar kebencian, tetapi untuk memelihara kehormatan wanita terutama isteri-isteri baginda yang berhadapan dengan golongan mukhannath.
Hadis itu tidak wajar digunakan sebagai alasan untuk mukhannath bergaul bebas dengan kaum wanita, kerana masih ada batas yang perlu dijaga di antara mukhannath dan wanita. Walaupun tindakan yang diambil oleh Rasulullah SAW untuk mengusir mereka dianggap keras, baginda dalam masa yang sama melarang untuk berlaku kejam terhadap mereka ataupun membunuh golongan ini.
Tiada hukuman khusus yang dilaksanakan buat golongan ini pada zaman Rasulullah SAW, tetapi pendekatan baginda wajar dijadikan contoh dan panduan terutama kepada mereka yang mempunyai ruang dan peluang untuk berubah ke arah kebaikan.
Dr Norsaadah Khair Penulis adalah Aktivis Perikatan Wanita Antarabangsa Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ)
Pernah diterbitkan di Berita Harian