SHAH ALAM, 11 Jun — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) hari ini menyampaikan geran perniagaan dan kemudahan pembiayaan bernilai lebih RM64 juta kepada 16 usahawan di Selangor sempena program Jelajah Usahawan dan Koperasi Madani (PJUKM 2023).
Kesemua penerima adalah usahawan di bawah bimbingan agensi di bawah Kuskop termasuk SME Corporation Malaysia, Amanah Ikhtiar Malaysia, UDA Holdings Bhd, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, dan Tekun Nasional.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif itu akan memastikan kesinambungan dan kemampanan komuniti usahawan serta koperasi dalam menghadapi cabaran dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.
“Kami mahu usahawan dan koperasi yang wujud hari ini terus berjaya di tengah-tengah pertumbuhan perusahaan baharu. Inilah yang kita perjuangkan di bawah Dasar Keusahawanan Nasional 2030, untuk Malaysia menjadi negara keusahawanan yang cemerlang menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian PJUKM 2030 Selangor di sini yang disempurnakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Ewon juga berharap kementeriannya dan kerajaan Selangor terus bersatu dalam membangunkan usahawan ke arah memartabatkan konsep kesejahteraan di bawah kerajaan Madani seperti yang dicita-citakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sumber — Bernama