1 Jun : Ketegasan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah, hingga sanggup dibawa ke mahkamah untuk berdebat dilihat sebagai perjuangan untuk mempopularkan dirinya, bukan kebaikan untuk rakyat Kedah.
Rakyat sedia maklum bahawa isu yang dimainkan oleh Sanusi ini tidak akan membawa apa-apa makna langsung mahupun kebaikan kepada kemajuan negeri Kedah dan ia tidak akan boleh merubah apa keadaan sekalipun.
Bukan itu sahaja, isu tersebut juga membebankan rakan komponen partinya, Perikatan Nasional (PN) seperti Gerakan yang masih mengharap untuk mendapat undi bukan Melayu di Pulau Pinang pada PRN ini. Keresahan itu tidak dapat dibendung oleh Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong yang membidas Sanusi kerana berulang kali mempertikai kedaulatan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri. Ia dilihat tidak bijak.
Oh berkata walaupun Gerakan dan PAS adalah sekutu, partinya secara jelas tidak bersetuju dengan dakwaan Sanusi. “Tindakan Sanusi mungkin membuatkan dia kelihatan berani dan membantunya meraih sokongan orang Kedah, tetapi ia juga menjejaskan keharmonian antara orang Kedah dan orang Pulau Pinang”, katanya.
Sepatutnya Sanusi harus berusaha membawa kemajuan ke negeri Kedah. Ketika ini Kedah berada di kedudukan kedua dalam senarai negeri termiskin di negara ini selepas Kelantan. Ramai rakyat anak muda Kedah keluar ke negeri-negeri yang lebih maju untuk mencari kehidupan yang lebih terjamin.
Ini sepatutnya menjadi motivasi buat Menteri Besar Pas itu untuk menunjukkan kebolehannya dalam memimpin negeri majoriti Melayu luar bandar kepada negeri yang boleh membuka banyak peluang ekonomi kepada rakyatnya.
“Kedegilan” Sanusi boleh digunakan untuk kebaikan rakyat Kedah seperti mendesak kerajaan persekutuan membina lapangan terbang di Kulim. Ini akan menaikkan ekonomi Kedah secara tidak langsung. Lapangan terbang Pulau Pinang terlalu sesak dan ingin ke sana juga penduduk tanah besar terpaksa melalui jalan yang jauh.
Taman Teknologi Tinggi Kulim Hi Tech juga akan lebih pesat membangun dan banyak pelabur akan membina perniagaan mereka di situ jika Lapangan Terbang Kulim siap. Kos dan masa dapat dijimatkan, tidak perlu lagi ke Pulau Pinang.
Itu adalah salah satu contoh di mana Menteri Besar Kedah dapat membantu kehidupan rakyatnya. Bukan dengan ‘perlawanan’ mulut kosong yang tidak akan membawa ke mana serta tidak memberi sebarang faedah kepada rakyat negeri jelapang padi itu.
Cuba tanya, berapa ramai anak Kedah dan Perlis yang bekerja di Pulau Pinang ? Ada rakyat Pulau Pinang kerja di Kedah ? Yang ada hanya orang Pulau Pinang membeli hartanah di Kedah kerana di Pulau Pinang kini terlalu tinggi nilai hartanahnya. Bukankah itu secara tidak langsung juga memberi kebaikan kepada Kedah ? Jiran makmur, kita juga turut makmur.
Kita semua satu negara, satu Malaysia. Hentikan isu-isu yang tidak matang ini. Memalukan serta merendahkan martabat rakyat Kedah. Kedah perlu maju, tidak ada sebab Kedah tidak boleh menjadi negeri berpendapatan tinggi seperti negeri-negeri lain jika pemimpinnya betul.
Azhar – Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Changloon Kedah