JOHOR BAHRU: Yahya Jaafar dilantik sebagai Ketua Umno Bahagian Johor Bahru yang baharu selepas menewaskan Naib Ketua Pemuda Umno Hairi Mad Shah pada pemilihan bahagian yang diadakan di sini semalam.
Timbalan Pengerusi Tetap Umno Johor Bahru, Seth Hussin mengumumkan keputusan itu pada 3.45 petang, dengan Yahya, bekas timbalan ketua bahagian memperoleh 296 undi berbanding 260 undi ADUN Larkin. Seramai 556 perwakilan hadir mengundi di sebuah hotel di sini.
“Saya harap kita dapat merapatkan barisan dengan semangat parti dan kekeluargaan yang erat yang wujud sebelum ini. Saya berharap semua menerima saya sebagai ketua bahagian dan saya akan sentiasa menerima semua orang dalam memastikan kelangsungan parti tercinta.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Shahrir Samad, yang memimpin bahagian ini selama 40 tahun,” kata Yahya kepada pemberita.
Beliau menambah bahawa bekas ahli parlimen Johor Bahru itu telah membimbingnya ke arah menjadi ketua bahagian baharu, dan beliau terbuka menerima maklum balas dan pendapat daripada semua orang.
Pemilihan bahagian itu pada 18 Mac lalu digantung berikutan dakwaan undian melebihi jumlah perwakilan yang hadir.
Foto : Youtube Awani