PERMATANG PAUH: UMNO Bahagian Permatang Pauh berharap diberi peluang bertanding di salah sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen itu dalam kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ketua Bahagiannya, Datuk Mohd. Zaid Mohd. Said berkata, Permatang Pauh merupakan antara kubu kuat UMNO dengan lebih 18,000 ahli yang akan memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan tanpa berbelah-bahagi.
“Sejak awal lagi saya sudah suarakan secara konsisten kepada pucuk pimpinan yang kita tuntut satu daripada tiga kerusi yang dipertandingkan.
“Mana-mana kerusi pun tidak kisah lah, tetapi yang penting Kerajaan Perpaduan hari ini perlulah berjiwa besar dan memberi laluan kepada kita untuk bertanding di Permatang Pauh.
“Kita bimbang, nanti orang Melayu negeri ini akan dilihat seolah-olah tidak ada tempat dalam Kerajaan Perpaduan sekali gus memberi gambaran kurang baik kepada pimpinan kerajaan hari ini jika UMNO tidak bertanding di sini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdapat tiga DUN di bawah Parlimen Permatang Pauh iaitu Seberang Jaya; Permatang Pasir dan Penanti.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ketiga-tiga kerusi itu dimenangi calon PH iaitu PKR menerusi Dr. Afif Bahardin di Seberang Jaya dan Dr. Norlela Ariffin (Penanti) manakala calon Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil menang di Permatang Pasir.
Bagaimanapun, Dr. Afif kemudiannya melompat parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 2020 menyebabkan kerusi DUN Seberang Jaya diisytihar kosong selari dengan pindaan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang pada Mac lalu.
Dalam pada itu, Mohd. Zaidi berkata, Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang beriltizam membantu PH mengekalkan majoriti dua pertiga kerusi DUN negeri itu pada PRN kelak, justeru wajar untuk UMNO diberi peluang bertanding di salah satu kerusi DUN di bawah Parlimen Permatang Pauh.
Sehubungan itu, tambahnya, pucuk pimpinan PH dan BN perlu membuat keputusan tepat bagi merealisasikan impian ‘Zero PN’ di Pulau Pinang.
“UMNO ada beberapa tempat yang menjadi sumber kekuatan orang Melayu di negeri termasuklah di Permatang Pauh.
“Apa yang saya dapat lihat, ahli UMNO ini amat setia kepada parti dalam apa juga keadaan sekalipun dan sekiranya mereka memberi undi kepada calon-calon di bawah Kerajaan Perpaduan, insya-Allah kedudukan dua pertiga (kerusi DUN) dapat dikekalkan.
“Bagaimanapun, katakanlah kita tidak dapat peluang (bertanding) itu, maka sukar untuk UMNO kawal bagi memastikan undi ahli kita beralih kepada calon PH,” katanya.
Mengulangi pendiriannya yang tidak akan bertanding pada PRN kali ini, Mohd. Zaidi berkata, muka baharu akan menjadi taruhan dan diyakini dapat memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.
“Kita tidak kisah bertanding di mana-mana pun, tetapi saya rasa DUN Seberang Jaya mungkin memberi lebih ruang dan peluang buat kita memandangkan ADUN terbabit sudah lompat parti,” katanya.
Sumber – UTUSAN