KUALA LUMPUR, 22 Mei — Setiausaha Agung DAP Anthony Loke hari ini berkata tiada salahnya Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa ahli-ahli UMNO Barisan Nasional (BN) mengundi calon DAP dan Pakatan Harapan (PH) pada enam pilihan raya negeri yang akan datang.
Ini kerana Anthony memberikan komitmen sekali lagi bahawa pengundi PH akan melakukan perkara yang sama di kawasan di mana calon BN akan bertanding.
Anthony juga berterima kasih kepada Ahmad Maslan dalam gesaan itu kerana PH dan BN bukan bermusuh dalam PRN akan datang ini. “Pemimpin DAP akan berkempen untuk parti komponen lain juga untuk pilihan raya negeri di mana tiada calon PH di kawasan itu dan BN akan melakukan perkara yang sama untuk PH,” katanya.
Pada Jumaat, Ahmad Maslan menyeru ahli Umno supaya mematuhi disiplin parti dan mengundi ahli DAP pada pilihan raya negeri akan datang.
Pada hari Sabtu lepas juga, setiausaha publisiti kebangsaan DAP Teo Nie Ching berkata semua ahli dan penyokong DAP di enam negeri yang menghadapi pilihan raya tahun ini harus mengundi calon Umno bagi memastikan masa depan negara yang lebih baik.
UMNO dan DAP terus berusaha memastikan ahli-ahli mengundi Kerajaan Perpaduan
Namun kedengaran di beberapa ‘kem UMNO’ yang tidak bersetuju dengan gesaan Ahmad Maslan itu. Begitu juga terdapat beberapa kritikan kepada PH di mana sebelum ini mereka begitu kuat menentang ‘kleptokrasi’ yang didakwa sinonim dengan UMNO, tetapi kini bersama-sama pula di dalam pilihanraya sebagai satu pasukan.