PETALING JAYA: Hanya penganut agama Islam sahaja yang boleh menggunakan kalimah suci Allah di Selangor, tegas Menteri Besarnya Datuk Seri Amiruddin Shari.
Beliau berkata pentadbiran negeri akan mematuhi titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 23 Mac 2021 di mana penggunaan kalimah Allah di Selangor oleh orang bukan Islam adalah dilarang.
“Ini selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes ‘Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur vs Kementerian Dalam Negeri’ pada 2014 dan fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Feb 2010, berhubung perkara itu,” tambahnya.
“Kerajaan negeri akan terus menjaga kepentingan dan sensitiviti bahawa kepercayaan agama perlu dihormati dan tidak mengganggu keharmonian dan perpaduan Selangor,” tambah Amiruddin.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim komited untuk mempertahankan dasar kerajaan berhubung penggunaan kalimah Allah berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2014.
Ahmad Zahid juga berkata Putrajaya akan memperkemas isu-isu yang melibatkan penggunaan perkataan itu dan membentangkan cadangannya kepada Majlis Raja-Raja untuk memartabatkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, di samping memastikan keharmonian kaum dan agama.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan Anwar semalam, di mana beliau ditemani Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi.