MARANG: Terengganu Silica (Marang) Sdn. Bhd. (TSM) melabur sebanyak RM500 juta untuk membangunkan industri pengeluaran silika kristobalit dan ultra tulen yang pertama di Asia dalam tempoh lima tahun dekat Merchang di sini.
Pengerusi Kumpulan Terengganu Silica Consortium Sdn. Bhd., Datuk Seri Baharuddin Sultan Mahmud berkata, pengoperasian fasa pertama melibatkan silika ultra tulen akan bermula pada suku kedua tahun 2024, manakala pengeluaran silika kristobalit pula fasa kedua dalam tahun 2027.
Menurutnya, keluaran silika yang merupakan bahan utama dalam penghasilan kaca teknologi maju itu dijangka dapat memenuhi pasaran industri hiliran domestik dan antarabangsa.
Katanya, kawasan industri pengeluaran silika tersebut melibatkan kawasan seluas 1,000 hektar.
“Projek silika kristobalit dan ultra tulen ini adalah industri pertengahan (mid stream) yang berintegrasikan aktiviti melombong dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 2.6 juta metrik setahun.
“Pengoperasian berintegrasi ini merangkumi keseluruhan tujuh aliran proses benefisiasi bagi penghasilan mutu tertinggi silika tersebut pada tahap 99.99 peratus dalam bentuk pasir halus dan tepung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian pecah tanah projek industri pengeluaran silika kristobalit dan ultra tulen TSM di Merchang, dekat sini, semalam.
Majlis perasmian itu disempenakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Baharuddin berkata, sebanyak 60 peratus pasir silika yang dihasilkan itu akan dieksport ke beberapa negara termasuk Jepun, Korea, Taiwan dan China, manakala 40 peratus untuk pasaran dalam negara.
“Produk silika tersebut adalah komposisi utama bagi keperluan pengeluaran produk industri hiliran kaca teknologi maju seperti batu hasil kejuruteraan, kaca seramik dan kaca oftalmik yang mempunyai rintangan tinggi terhadap haba dan sebagainya.
“TSM akan menjadi pemangkin bagi pelaburan langsung asing (FDI) menerusi kewujudan industri hiliran silika seperti kaca telefon bimbit, televisyen dan sebagainya di Terengganu dan Malaysia,” ujarnya.
Beliau berkata, TSM turut bekerjasama dengan beberapa negara termasuk Jerman, Belgium dan Jepun bagi mendapatkan kepakaran berkaitan serta dalam aplikasi kecerdasan buatan (AI).
“Ini bagi menjana pengeluaran produk yang amat bermutu tinggi. Syarikat juga sedang berusaha untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar melalui projek ini,” katanya.
Sumber – UTUSAN
Foto – portal berita RTM