PETALING JAYA: PAS boleh dan sanggup bekerjasama dengan semua pihak dan tidak teragak-agak membatalkannya apabila ia melanggar prinsip dan strategi parti itu, kata Presiden Abdul Hadi Awang.
Hadi berkata, PAS juga bersikap terbuka dan berhati-hati dalam menghadapi sebarang perubahan dari sudut pemikiran dan sikap manusia yang berubah-ubah.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, bagaimanapun PAS bukan ‘tempat persinggahan’ sementara waktu yang boleh dipergunakan pihak lain untuk kepentingan politik. Tegasnya PAS bukan seperti bola, direbut untuk pangkat, harta atau takhta, tetapi ditendang jika tidak mahu lagi menggunakannya.
Penegasan itu dipercayai untuk mengabsahkan tindakan PAS menyokong Proklamasi Orang Melayu diterajui Dr Mahathir Mohamad ketika ini, walaupun dua pemimpin berkenaan sering berbeza pendapat sebelum ini, kerjasama PAS dengan PKR dan DAP atas tiket Pakatan Rakyat, namun gabungan itu terbubar pada 2015 selepas DAP dan PAS tidak lagi sehaluan, dan selepas kalah pada PRU 2018, PAS serta Umno memeterai Piagam Muafakat Nasional pada akhir 2019 untuk bekerjasama atas platform penyatuan ummah, tetapi juga gagal apabila PAS menyertai Bersatu membentuk Perikatan Nasional pada 2020, untuk menjadi kerajaan memerintah.
“PAS mengadakan kerjasama dengan pihak lain atas titik persamaan kemanusiaan dan keadilan kepada semua tanpa melanggar sempadan prinsip Islam dan konsep yang menjadi kewajipan PAS.
“PAS lebih mengutamakan sikap berkebajikan terhadap semua pihak, termasuk terhadap mereka yang pernah bermusuh atau sedang bermusuh atau paling bermusuh,” katanya.
Hadi berkata, apabila ada pihak melanggar dasar PAS atau memaksa PAS keluar daripada landasan Islam atau melanggar konsep yang wajib seperti menegakkan negara Islam atau konsep amar makruf dan nahi munkar atau ancaman terhadap Islam dan penganutnya oleh pihak lain, maka PAS tidak teragak-agak membatalkan kerjasama atau keluar daripada pakatan politik tersebut.
“Sikap PAS pula tidak jumud tanpa perubahan apabila berlakunya perubahan sikap dan keadaannya, dan ada parti yang berulang kali berhubung dan memutuskan hubungan dengan PAS,” katanya dipercayai merujuk kepada kerjasama mereka sebelum ini dengan kepelbagaian parti.