spot_img
spot_img

Adakah Najib mendapat perbicaraan adil ? Diketahui Jumaat ini

spot_img

PETALING JAYA: Adakah Najib Razak tidak mendapat proses perbicaraan yang adil ?

Ini salah satu persoalan utama dikemukakan oleh pasukan pembelaan Najib, diketuai Shafee Abdullah, yang perlu diberikan keputusan oleh Mahkamah Persekutuan apabila memutuskan sama ada untuk menyemak keputusannya sendiri dalam rayuan kes rasuah SRC International membabitkan bekas perdana menteri itu.

Najib, pada mulanya disabitkan di Mahkamah Tinggi oleh Hakim Nazlan Ghazali atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana milik SRC. Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

- Advertisement -

Sabitan dan hukuman itu dikekalkan, kali pertama oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021, dan kemudian oleh panel lima hakim mahkamah tertinggi yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas.

Sebelum itu, pada 21 Julai, permohonan bekas perdana menteri itu untuk melantik peguam terkemuka dari UK, Jonathan Laidlaw ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

- Advertisement -

Menurut Najib, beliau mahu Laidlaw bekerjasama dengan Shafee dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Berikutan itu, Najib memutuskan untuk menukar keseluruhan pasukan guamannya, dengan peguam jenayah Hisham Teh Poh Teik bersetuju untuk bertindak sebagai peguam utama menggantikan Shafee.

Pelantikan Hisyam dan firma guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners sebagai peguam cara diumumkan dalam beberapa hari seterusnya.

Ketika pengurusan kes seterusnya pada 10 Ogos, Hisyam memberitahu timbalan pendaftar, beliau akan memohon penangguhan rayuan pada hari pertama perbicaraan.

Jika permohonan itu ditolak, katanya, beliau dan peguam cara tiada pilihan lain selain menarik diri daripada mewakili Najib.

Pada 15 Ogos, panel lima hakim diketuai Tengku Maimun bersidang untuk mendengar usul kebenaran mengemukakan keterangan tambahan, yang difailkan Najib dalam usaha menggugurkan Nazlan disebabkan konflik kepentingan.

Panel tersebut turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Zabidin Diah.

Keesokan harinya, selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak selama dua hari, panel menolak usul itu.

Pada ketika itu, Hisyam merayu agar rayuan utama itu ditangguhkan.

Dalam penghujahan, Hisyam meminta masa agar dapat “kembali menghujahkan rayuan yang sama, dengan semangat dan keikhlasan yang sama”.

Katanya, penangguhan yang dimohonnya bukan disebabkan perayu, tetapi disebabkan beliau (pasukan peguam baharu) sendiri.

“Apabila saya mengambil kes ini, saya (sedar) bahawa kes ini ditetapkan untuk dibicarakan pada 15hb. Saya juga sedar tentang peraturan etika,” katanya.

“Namun saya berharap, dan yakin, bahawa alasan yang saya kemukakan adalah sahih (dan) kukuh untuk menggesa mahkamah menggunakan budi bicara memihak kepada kami.

“Beri saya masa yang mencukupi untuk bersedia bagi rayuan utama,” katanya.

Hisyam berkata, beliau dimaklumkan terdapat kira-kira 179 jilid rekod rayuan, dengan kira-kira 57 saksi dipanggil secara keseluruhannya.

Penghakiman kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pula lebih 1,000 muka surat, tambahnya.

Katanya, pasukannya tidak datang ke mahkamah dengan “tangan kosong”, malah telah banyak bersedia untuk berhujah.

“Jadi, (penangguhan yang dimohon) bukanlah untuk sengaja melengahkan pendengaran rayuan utama ini,” katanya.

“Dalam kes ini, terdapat pertembungan kepentingan antara perbicaraan dan rayuan yang cepat dengan keadilan.

“Sabitan di Mahkamah Rayuan dibuat pada Disember 2021. Ini bermakna rayuan ini didengar hanya satu tahun selepas keputusan muktamad Mahkamah Rayuan.”

Menurutnya, dalam rayuan yang pernah dilihatnya sebelum ini, peguam lain diberikan penangguhan kerana baru sahaja diambil bagi mengendalikan kes itu.

“Kami memohon layanan yang sama, perlindungan sama rata, peluang sama rata. Mesti ada peluang luas diberikan kepada tertuduh kerana ini tuduhan berat, dan ini pusingan terakhir rayuannya,” katanya.

Pihak pendakwaan tidak membantah permintaan itu, menurut penghujahan pasukan pembelaan. Mereka hanya menyerahkan perkara itu kepada budi bicara mahkamah.

Ini mungkin kerana permintaan itu munasabah “berdasarkan pengalaman mereka sendiri di pelbagai mahkamah, termasuk Mahkamah Persekutuan”, menurut penghujahan.

“Najib tidak dapat dikatakan diwakili peguam yang berkesan (pada peringkat rayuan),” kata peguam cara Najib sekarang, Shafee & Co., dalam penghujahan bertulis.

Hisyam “dibelenggu dengan cara yang tidak berperlembagaan” daripada mewakili Najib secara berkesan, kata mereka, yang menyebabkan beliau meminta dilepaskan.

Malah permintaan itu pun ditolak, tambah mereka.

Peguam-peguam berhujah bahawa keputusan untuk menolak penangguhan yang diminta oleh Hisyam mengakibatkan “hak pemohon untuk didengar bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, serta hak untuk diwakili oleh peguam yang berkesan terhapus”.

Penolakan itu turut menafikan peguam pemohon peluang untuk menyediakan kesnya dengan betul, yang menjadi “ketidakpatuhan prosedur”, kata mereka.

 

What’s your Reaction?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

comments

Muat turun applikasi Berita Tular di Apple Store atau Google Play sekarang


Dapatkan informasi terkini di emel anda. Langgan secara percuma.

Terkini

spot_img
spot_img