Putrajaya 28 Mac : Malaysia adalah negara yang berpotensi serta kaya dengan sumber mahir manusia dan alam semulajadi. Namun ia masih dibebani dengan masalah politik lama. Setelah diamati, ‘peperangan’ politik antara pemimpin lama dan juga antara parti-parti lama, bukan membawa kemajuan kepada Malaysia seperti kebanyakan negara maju, tetapi lebih membawa kepada kemunduran.
Akhirnya – yang berjaya menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semalam beliau mendakwa negarawan Tun Dr Mahathir Mohammad mengaut kekayaan negara untuk keluarganya selama 20 tahun lebih sejak memerintah, dan akibat dari kenyataan itu, Tun Dr Mahathir memberi Anwar masa selama 7 hari bermula hari ini untuk menarik balik kenyataan tersebut atau menghadapi tindakan undang-undang.
Siapa yang harus dipersalahkan ? Negarawan yang patut berundur ? Atau setiap Perdana Menteri Malaysia harus mengikuti ‘nasihat-nasihat’ Tun Dr Mahathir. Jika tidak ikut nasihat itu, kita boleh lihat bukti sebelum ini yang telah terpahat dalam sejarah, seorang demi seorang Perdana Menteri itu tidak akan tenteram di dalam mentadbir negara jika bermusuh dengan Tun Dr Mahathir – lebih buruk lagi, mereka tewas.
Siapakah yang menjadi mangsa ? Sudah tentu rakyat keseluruhan yang mendambakan kemajuan dan mahukan negara terus melangkah ke depan dengan kestabilan. Namun ia terbantut akibat dari kerajaan semasa yang terpaksa secara berat dan keterlaluan perlu menangkis isu-isu politik berbanding mentadbir negara. Mereka tidak setenang di era Tun Dr Mahathir yang mampu membina visi dan pembangunan untuk jangkamasa panjang.
Malaysia negara yang kempen politiknya bukan 5 tahun sekali sewaktu undi umum, tetapi saban hari berkempen isu politik dan mencari peluang untuk ‘menembak lawan’ dimainkan. Ditambah dengan media yang suka mencari berita-berita sensasi dan kurang mengambil peranan tanggungjawab sosial seperti media pasca-kemerdekaan dahulu. Media boleh memburukkan lagi keadaan dengan melaga-lagakan sesuatu isu.
Sebagai contoh, isu Presiden Indonesia, Jokowi menelefon Anwar dan Muhyiddin dan isu pertemuan dengan Putera Arab Saudi, Mohammad Bin Salman (MBS) menjadi senjata kepada kedua-dua pihak untuk menunjukkan legitimasi kekuatan serta pengaruh pemimpin masing-masing. Sebenarnya isu ini tidak mendapat manfaat langsung kepada kemajuan rakyat. Isu ini adalah isu dimainkan untuk pengundi Melayu. Pengundi bukan Melayu tidak mementingkan perkara remeh seperti ini.
Apa faedahnya kepada rakyat apabila Jokowi menelefon dahulu Anwar dan ucap tahniah berbanding Muhyiddin sendiri yang menelefon Jokowi dan memberitahunya – diri sendiri berjaya menjadi Perdana Menteri Malaysia ?
Apa faedahnya kepada rakyat jika Muhyiddin boleh masuk ke dalam Kaabah dan Anwar tidak dapat masuk dalam Kaabah berserta bertemu dengan Putera MBS ? Mana komen-komen negatif terhadap MBS yang mengubah negara Arab Saudi mengikut acuan budaya Barat ? Bagaimana isu hak asasi manusianya yang juga dituduh membunuh wartawan Turki ?
Apa faedahnya kepada kita jika Anwar bertemu Presiden Turki sekalipun ?
Rakyat terutamanya orang Melayu patut menilai hasil kerja, bukan foto bergambar di sosial media menteri itu dengan siapa dia bergambar.
Inilah yang sepatutnya rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu perlu bijak memilih isu dalam mengkritik pemimpin. Orang Melayu suka berpolitik berdasarkan sentimen, bukan pemikiran kritikal. Oleh itu kita tidak mampu menjadi penentu atau mencorak pemerintahan negara dengan bijak berbanding etnik lain walaupun mereka minoriti – tetapi mereka boleh menjadikan majoriti tidak berjaya menjadi kerajaan !
Tidak ada faedah langsung peperangan Anwar-Mahathir ini pada tahun 2023 kepada Malaysia. Ada baiknya juga Tun Dr Mahathir mendengar nasihat Jomo Kwame Sundaram, bekas anggota Majlis Penasihat Kerajaan yang dilantik oleh beliau, untuk keluar dari politik dan menjadi negarawan sebenar, bukan lagi ahli politik. Membantu negara dan pentadbiran semasa untuk berada di landasan yang betul melalui pengalamannya, bukan suruhannya. Bukan untuk menumbangkan kerajaan dan menang pilihanraya lagi.
Pandangan meja editorial tidak melambangkan pendirian Berita Tular