WASHINGTON: Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew dilihat gagal meyakinkan jawatankuasa Kongres Amerika Syarikat (AS) bahawa aplikasi tersebut tidak membawa ancaman besar kepada negara itu, menurut media Barat. Namun video di dalam YouTube dapat menyaksikan bahawa kongres AS seolah-olah tidak mahu menerima jawapan dari CEO TikTok itu. Ada juga di saat beberapa kongress dilihat seperti tidak faham akan soalan mereka sendiri.
Keterangan Zi Chew selama enam jam di hadapan Kongres dikatakan sia-sia untuk membantu meredakan kebimbangan AS bahawa aplikasi itu tiada kaitan dengan kerajaan China terutama dalam mengintip AS kerana AS telah ‘mengambil keputusan’ untuk tetap menghalang perkembangan syarikat teknologi dari China itu.
TikTok kini berada di tangga ke dua sebanyak 1 bilion pengguna dalam masa yang singkat di belakang Facebook sebanyak 2.6 bilion pengguna. Dalam masa 2 tahun sahaja pengguna di AS meningkat sebanyak 150 juta orang.
Zi Chew menegaskan TikTok adalah satu aplikasi yang tidak ada beza dengan syarikat teknologi lain di AS, tetapi tetap diasak dengan soalan bertubi-tubi oleh ahli Kongres.
“Aplikasi kami adalah tempat untuk menjadi kreatif, di mana hampir empat juta perniagaan AS, terutama peniaga kecil mencari pelanggan baharu dan mengembangkan perniagaan mereka.
“Kini TikTok semakin meluas dan kami ambil pengajaran daripada syarikat-syarikat sebelum ini, terutama apabila ia membabitkan keselamatan remaja. Kebanyakan pendekatan itu adalah yang pertama dilakukan oleh industri media sosial,” jelasnya.
TikTok dan syarikat induknya, ByteDance terbabit dalam ‘perang geopolitik’ antara Beijing dan Washington berkaitan perdagangan dan teknologi.
Zi Chew, warga Singapura berusia 40 tahun, memberitahu jawatankuasa bahawa syarikatnya kekal dengan pendirian bahawa keselamatan pengguna terutama golongan remaja sentiasa menjadi keutamaan.
(Shou Zi Chew – CEO TikTok dari Singapura)
“Kini TikTok tidak lagi di China. Ibu pejabat kami terletak di Los Angeles dan Singapura, di mana terdapat 7,000 pekerja di AS ketika ini.
“Namun, kami mendengar kebimbangan mengenai potensi akses asing yang tidak diingini kepada data AS dan potensi manipulasi ekosistem TikTok AS. Pendekatan kami tidak pernah mengetepikan atau meremehkan mana-mana kebimbangan ini. Kami sudah menanganinya dengan sewajarnya,” katanya.
Pengerusi jawatankuasa itu, Cathy McMorris Rodgers berkata, pihaknya tidak percaya TikTok akan menjadi lambang kebebasan, hak asasi dan inovasi di AS.
“China boleh menggunakan aplikasi itu sebagai alat untuk memanipulasi AS secara keseluruhan. TikTok berulang kali memilih laluan untuk lebih mengawal dan memanipulasi jadi platform anda harus diharamkan,” katanya kepada Zi Chew.
Sebahagia ahli Kongres turut menolak hujah Zi Chew mengenai keselamatan TikTok.
Pentadbiran Presiden, Joe Biden baru-baru ini berkata, TikTok boleh diharamkan di AS jika China tidak menjual kepentingan mereka dalam syarikat itu.
Kongres, White House, angkatan tentera AS dan lebih separuh negeri di AS sudah pun mengharamkan TikTok pada peranti rasminya.
Tindakan sama turut dilakukan beberapa negara termasuk Denmark, Kanada, United Kingdom (UK), dan New Zealand selain Kesatuan Eropah (EU).