KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah seolah-olah sudah hilang sentuhan ‘pemusnah’ selepas mengalami kekalahan di pusingan awal dalam dua kejohanan berturut-turut.
Terdahulu, misi Pearly-Thinaah merampas kembali kejuaraan Terbuka Switzerland yang dimenangi pada 2021 disekat beregu Taiwan, Lee Chia Hsin-Teng Chun Hsun apabila tunduk di tangan lawan itu 15-21, 21-14, 16-21 pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Basel, awal pagi tadi.
Sebagai rekod, ini adalah kali kedua berturut-turut pasangan nombor lapan dunia itu tersingkir di pusingan pertama selepas turut mengalami nasib sama di Seluruh England di Birmingham, minggu lalu.
“Apa yang saya lihat dalam dua kejohanan ini, serangan mereka tidak berjaya mematikan lawan. Apabila lawan pula yang melakukan serangan, mereka hanya bertahan tanpa idea, semata-mata mengembalikan bola (bulu tangkis) saja sekali gus memudahkan lawan matikan mereka.
“Selain itu, banyak sangat kesilapan sendiri yang dilakukan mereka… saya tengok Pearly bermain semalam, banyak buat kesilapan sendiri, lawan tidak matikan kita sebaliknya kita sendiri yang beri mereka mata mudah,” kata jurulatih beregu, Hoon Thien How.
Berbaki kurang dua bulan sebelum pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 1 Mei depan, Thien How menuntut mereka untuk kembali fokus sepenuhnya kepada badminton.
“Apa yang paling penting sekarang adalah untuk mengembalikan permainan sebenar dan tahap keyakinan mereka. Untuk mendapatkan keyakinan semula, mereka perlu menang,” katanya.
Pearly-Thinaah mempunyai tempoh sebulan bagi melakukan persiapan sebelum tugasan antarabangsa mereka yang seterusnya di Kejohanan Badminton Asia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 25 hingga 30 April.
Di sebalik kekalahan Pearly-Thinaah, juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menceriakan kem badminton negara apabila masing-masing melangkah ke pusingan kedua saingan beregu lelaki di Basel.
Aaron-Wooi Yik yang tampil sebagai pilihan pertama kembali bangkit daripada ‘mimpi ngeri’ tewas di pusingan pertama Seluruh England, minggu lalu apabila menewaskan wakil tuan rumah, Arthur Boudier-Pham Minh Quang 21-10, 21-10 manakala Ee Yi-Yew Sin Alexander Dunn-Adam Hall dari Scotland 22-20, 21-13.
Aaron-Wooi Yik akan dijadual bertemu beregu Jepun, Akira Koga-Taichi Sato manakala Ee Yi-Yew Sin pemenang perlawanan antara pasangan Indonesia, Pramudya Kusumawardana dengan Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura bagi perebutan tiket ke suku akhir, esok.