LONDON: Badan pengadil meminta Liga Perdana Inggeris (EPL) dan pegawai perlawanan menghentikan permainan seketika bagi membolehkan pemain beragama Islam berbuka puasa ketika Ramadan, menurut Sky Sports hari ini.
Pegawai perlawanan juga diberi panduan agar pemain dapat berbuka puasa dengan minuman, gel tenaga atau suplemen di garisan tepi padang ketika aksi dihentikan seketika.
Ramadan di seluruh dunia dijangka bermula esok dan berakhir sebulan.
Pengadil juga digalakkan mengenal pasti pemain yang berpuasa sebelum sepak mula dan bersetuju dengan anggaran masa ditetapkan untuk berbuka puasa.
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, pemain tengah Chelsea, N’Golo Kante dan sayap Manchester City, Riyad Mahrez antara pemain yang menjalani ibadah itu tanpa makan dan minum di siang hari.
(Mohamed Salah dari Liverpool, negara asal adalah Mesir antara penyerang yang terbaik di Liga Perdana Inggeris)
Pada 2021, perlawanan Leicester City dan Crystal Palace dihentikan seketika oleh pengadil, Graham Scott selepas setengah jam bagi membolehkan Wesley Fofana dan Cheikhou Kouyate berbuka puasa.