MACHANG, 18 Mac — Pelan Transformasi Felcra Berhad 2.0 akan dilaksanakan secepat mungkin bagi memanfaatkan dan melindungi kebajikan peserta, kata pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Beliau berkata pelan itu akan merangkumi beberapa aspek, seperti keselamatan makanan, urusan perniagaan berkaitan Felcra dan tadbir urus.
“Saya sudah membuat perancangan sebelum ini untuk meneruskan Pelan Transformasi 2.0 yang sepatutnya dimulakan awal tahun ini tetapi tidak dapat dimuktamadkan kerana keadaan di luar jangkaan.
“Perancangan ini sangat baik dan Insya-Allah akan dilaksanakan secepat mungkin kerana matlamat kami adalah untuk membantu peserta,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bukit Tiu, di sini, hari ini.
Beliau berkata perancangan perlu dilakukan dengan cara terbaik dalam usaha meningkatkan pendapatan Felcra dan mengurangkan pergantungan kepada kerajaan.
“Apabila mendapat mandat untuk terlibat dalam isu sekuriti makanan, contohnya penternakan ayam pedaging, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Felcra turut terlibat. Bagi tanaman padi, kita juga ada di Seberang Perak, Perak.
“Kami sentiasa komited dengan apa-apa tanggungjawab yang diberikan oleh kerajaan kerana kami akan terus maju ke hadapan untuk menjadi lebih baik dan seterusnya membantu rakyat dan kerajaan,” katanya.
Sumber – Bernama