SPRM dikatakan telah mempunyai bukti yang mencukupi untuk membawa pertuduhan terhadap seorang ahli PAS seperti yang dipaparkan dalam rakaman video ketika menyerahkan wang tunai kepada pengundi di Parlimen Marang, Terengganu semasa pilihan raya umum yang ke 15 lalu.
Menurut sumber yang rapat dengan kes itu, penyiasat telah menemubual saksi kejadian dan akan mencadangkan tuduhan rasuah kepada pendakwa raya tidak lama lagi.
Mereka sedang menyiapkan satu bahagian terakhir sebelum melengkapkan siasatan, kata seorang pegawai kanan SPRM, yang membabitkan permintaan formaliti untuk mendapatkan beberapa dokumen rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“SPRM perlu mendapatkan dokumen pendaftaran pemilih daripada SPR, yang perlu kita mohon melalui mahkamah.
“Apabila kita mendapat dokumen dan merekodkan beberapa lagi kenyataan, maka kertas siasatan akan dihantar semula kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan mereka.
“SPRM akan mencadangkan kepada AGC untuk mengenakan tuduhan rasuah terhadap individu yang memberikan wang tunai itu (kepada pengundi),” kata sumber yang tidak mahu dikenali oleh Malaysiakini .
Menurut sumber SPRM itu, penyiasat telah menyoal beberapa saksi, termasuk kira-kira 90 pengundi yang didakwa telah menerima bayaran daripada PAS untuk mengundi calon parti tersebut.
Daripada siasatan SPRM, pegawai penyiasat dikatakan menemui unsur rasuah yang jelas dalam kejadian itu.
“Terdapat unsur-unsur rasuah, seperti yang dapat dilihat dengan jelas daripada video yang tular,” kata sumber lagi.
Di sebalik dakwaan pembabitan parti dan kawasan pilihan raya itu, Malaysiakini melaporkan bahawa pertuduhan dan siasatan tertumpu semata-mata kepada mereka yang memberi rasuah, dan bukannya ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang.
Selepas berakhirnya PRU15 pada November lalu, timbul dakwaan di media sosial bahawa PAS telah menyogok pengundi.
Dalam salah satu video tular, beberapa individu kedengaran bersumpah di hadapan seorang yang didakwa ahli PAS, mengatakan bahawa mereka telah mengundi parti itu, sebelum bayaran wang tunai dibuat.
Satu lagi video tular menunjukkan orang ramai menunggu di hadapan sebuah bangunan untuk mengambil bayaran daripada PAS selepas selesai mengundi.
Bagaimanapun, Pengarah pilihan raya PAS Muhammad Sanusi Md Nor segera menafikan perkara itu dengan mendakwa ia hanya helah parti pesaing untuk memburuk-burukkan PAS dan parti Islam itu tidak mempunyai dana untuk membayar pengundi.
Siasatan juga menemui dokumen yang perlu ditandatangani oleh penerima apabila mereka menerima bayaran, selain perlu mengangkat sumpah.
Dakwaan pembelian undi itu menjadi subjek petisyen pilihan raya untuk membatalkan keputusan pengundian di Marang.