Putrajaya : Perdana Menteri Malaysia sebanyak dua kali, Tun Dr Mahathir Mohammad berkata, tidak mustahil kerajaan yang ada sekarang akan membuat pemetaan semula pada kawasan-kawasan kerusi pilihanraya yang akan datang.
Beliau mendakwa jika ini berlaku, kemungkinan jumlah kerusi parlimen atau DUN kawasan yang bermajoriti Melayu akan berkurangan. Manakala kawasan bukan Melayu akan bertambah.
Ia sekaligus akan menukar corak kerajaan selama ini yang didominasi oleh parti Melayu pada PRU16 kelak, dan (mungkin) lebih ketara semasa PRU17, kata Tun Mahathir lagi.
“Dalam perlembagaan negara kita juga, Perdana Menteri boleh daripada mana-mana kaum, tidak semestinya Melayu. Kita tengok, kini parti-parti Melayu di dalam kerajaan pun tidak berkuasa”, ujarnya.
Beliau juga memberi peringatan kepada orang Melayu supaya tidak mengundi kerana wang, kerana mereka akan silap memilih pemimpin yang tidak baik dan mungkin akan menggadai negara.
Diminta komen berkenaan pentadbiran kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa 100 hari, Tun Mahathir berkata Anwar dilihat mengeluarkan kenyataan setiap hari, tetapi belum nampak apa-apa perubahan lagi dari apa yang dijanjikan.
“Kita lihat semua aspek dari segi ekonomi, kos sara hidup, masalah orang Melayu yang ketinggalan, masih belum tertunai lagi. Semua hanya cakap sahaja”, kata beliau pada sesi Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang Bersama Tun M di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya yang turut dihadiri oleh Tan Sri Noh Omar dan Datuk Zuraida Kamarudin sebagai panel jemputan.
Tun Mahathir juga mempersoalkan berkenaan Belanjawan 2023 baru-baru ini yang dikatakan paling besar dalam sejarah. “Dari mana datangnya duit sebanyak ini. Hari ini pun kita pinjam RM1.5 trilion ringgit, dengan defisit belanjawan ini, negara akan berhutang lebih banyak”, kata beliau yang juga turut menambah bahawa kini negara perlu membayar RM40 bilion faedah hutang kerajaan sahaja, belum nilai pinjaman.
“Siapa yang akan membayar hutang ini ? Sudah tentu hingga anak cucu kita”, ujarnya di akhir soal jawab bersama wartawan.