KUALA LUMPUR, 5 Mac — Mulai tahun ini, bakal pemilik hartanah strata di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) perlu menghadiri kursus sivik bagi mewujudkan kesedaran dan kefahaman tentang kehidupan bermasyarakat dan etika kejiranan.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kursus itu akan merangkumi taklimat mengenai kepentingan membayar yuran penyelenggaraan, menjaga kebersihan dan mencegah vandalisme.
“Kesedaran sivik yang padu akan mewujudkan komuniti yang lebih mesra alam dan mesra penduduk.
“Mereka perlu menghadiri kursus sivik ini kerana semua pihak perlu memahami tanggungjawab mereka apabila menggunakan kemudahan bersama (yang disediakan di kawasan perumahan). Sebab itu mereka diwajibkan menghadiri kursus sebelum mengambil kunci rumah,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.