KUALA LUMPUR, 4 Mac — MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di Pahang dan Johor sehingga esok (5 Mac).
Menurut amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 9.50 malam, kawasan terjejas ialah Rompin di Pahang; dan Segamat, Kluang dan Mersing di Johor.
Hujan lebat berterusan juga dijangka berlaku sehingga esok di Pekan, Pahang dan beberapa kawasan di Johor antaranya Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Baru serta beberapa kawasan di Sarawak iaitu Kuching, Serian , Samarahan, Sri Aman dan Betong (Pusa dan Betong).
Hujan berterusan tahap amaran diramal berlaku sehingga esok di tiga kawasan di Pahang iaitu Maran, Kuantan dan Bera serta di beberapa daerah di Sarawak iaitu Betong (Saratok dan Kabong), Sarikei, Sibu (Sibu dan Kanowit) dan Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Matu).
Dalam informasi yang berkaitan, jumlah hujan yang direkodkan di stesen Air Panas di Segamat, Johor bagi tempoh bermula 28 Februari hingga semalam (3 Mac) ialah 731 milimeter (mm) — tertinggi berbanding rekod hujan bulanan tertinggi pada Disember 1991 (621 mm sebulan) dan Disember 2006 (599 mm sebulan).
Hujan yang tinggi itu menyebabkan semua daerah di Johor dinaiki air membabitkan 105 lokasi setakat semalam manakala kedalaman banjir di kawasan terbabit antara satu hingga tiga meter.
Semua empangan air di Johor terpaksa melepaskan air kerana jumlah hujang yang begitu tinggi.
Berikutan hujan lebat berterusan di kawasan tadahan air membabitkan beberapa empangan di Johor, JPS memutuskan untuk mengeluarkan air sambil mengikut prosedur operasi standard bagi empangan itu.
Sepanjang Monsun Timur Laut, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) akan berjaga-jaga untuk memberikan ramalan dan amaran banjir kepada semua pihak berkuasa berkaitan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai amaran banjir serta paras air sungai dan hujan di seluruh Malaysia di laman web Public Infobanjir, publicinfobanjir.water.gov.my dan juga dengan menggunakan aplikasi mudah alih MyPublic Infobanjir yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store.