GEORGE TOWN, 5 Mac — Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan usul tambahan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak bertanding dalam pemilihan parti tahun ini.
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno telah menerima surat daripada Menteri Dalam Negeri berhubung keputusan RoS semalam.
“Surat daripada Menteri Dalam Negeri semalam adalah mengenai pemberitahuan keputusan mengenai pengecualian pematuhan Seksyen 13 (1) (c) (14), melalui Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), berhubung dengan meluluskan usul tambahan pada PAU 2022,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis memperkenalkan calon Umno Pulau Pinang pada pemilihan parti itu di sini semalam.
Beliau berkata surat daripada KDN mengesahkan usul tambahan yang diluluskan itu sah.
“Ini kerana semua fasal dalam perlembagaan parti juga dipatuhi oleh pengerusi tetap,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata semua ahli Umno perlu memberi keutamaan untuk memperkukuh parti dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan.
“Kerajaan sekarang mesti dipertahankan kerana Umno adalah sebahagian daripadanya… sebarang agenda yang boleh menggugat kerajaan (tidak boleh diteruskan) dan tidak memilih tokoh yang boleh menggugat kerajaan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua calon supaya tidak menjalankan kempen yang boleh menyebabkan mereka hilang kelayakan atau terbatal kemenangan.
Pemilihan Umno bermula pada 1 Feb dan akan berlangsung sehingga 18 Mac.
Sumber : Bernama