BANYAK diperkatakan mengenai keputusan kaji selidik dibuat Merdeka Center dari 26 Disember 2022 hingga 15 Januari 2023 dan diumumkan 10 Februari lalu. Paling mendapat perhatian, dapatan lebih dua pertiga atau 68 peratus responden berpuas hati terhadap prestasi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM).
Tahap kepuasan hati terhadap PM mengikut etnik ini ialah 91 peratus India, bumiputera bukan Islam (83%), Cina (73%), bumiputera Islam (66%) dan Melayu (60%).
Seterusnya ialah tahap kepuasan hati terhadap kerajaan perpaduan berada lebih satu perdua atau 54 peratus yang positif tetapi lebih rendah berbanding prestasi PM. Tahap kepuasan hati terhadap kerajaan perpaduan mengikut etnik ialah India (67%), Cina (65%), Melayu (49%), bumiputera bukan Islam (42%) dan bumiputera Islam (39%).
Dapatan menarik lain ialah 83 peratus menerima pemilihan Anwar sebagai PM ke-10, 79 peratus responden menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan 77 peratus setuju kerajaan perpaduan akan membawa kestabilan dan imej keterangkuman kepada negara.
Para penyokong kerajaan perpaduan pastilah bergembira dengan keputusan kaji selidik ini kerana ia mengesahkan sokongan dua pertiga ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 19 Disember lalu kini meresap ke akar umbi yang diterjemahkan oleh kepuasan hati 68 peratus responden. Masa sama, mereka tidak boleh terlalu selesa kerana berdasarkan kaji selidik lalu mengenai tahap kepuasan hati terhadap seseorang PM baharu dan sesebuah kerajaan baharu, sememangnya didapati positif atau amat positif dalam tempoh 100 hari terawal.
Sebagai contoh, kaji selidik dibuat oleh Merdeka Center dari 7 hingga 14 Ogos 2018 mendapati tahap kepuasan hati terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai PM berada pada 71 peratus manakala terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH), 67 peratus.
Begitupun, kaji selidik sama dibuat Merdeka Center dari 5 hingga 11 Mac 2019, setelah hampir setahun Dr. Mahathir dan kerajaan PH memerintah mendapati tahap kepuasan hati masing-masing menurun kepada 46 dan 39 peratus.
Perkara hampir sama berlaku kepada dua PM selepas beliau, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta kerajaan yang mereka ketuai menunjukkan penerimaan baik pada peringkat awal tetapi menurun dengan perubahan masa. Oleh itu, menjadi satu cabaran besar untuk Anwar dan kerajaan perpaduan mengekal malah meningkatkan tahap kepuasan hati supaya apa yang berlaku ke atas tiga PM dan tiga kerajaan terdahulu yang menunjukkan kemerosotan prestasi tidak berulang.
Satu kelebihan besar yang ada pada Anwar dan kerajaan perpaduan sekarang berbanding tiga PM terdahulu dan tiga kerajaan terdahulu adalah mereka memiliki dua pertiga kerusi di Parlimen. Sokongan kuat ini pastinya memudahkan Anwar dan kerajaan perpaduan melakukan segala macam pembaharuan dan transformasi.
Pandangan serius perlu diberikan ke atas enam isu terbesar yang kerajaan perpaduan perlu fokuskan, iaitu pengwujudan kerja (19.8%), jurang gaji (18.8%), kemasukan balik pelaburan langsung asing (FDI) 11.5%, usaha menangani rasuah lebih serius (9.8%), pembaharuan pendidikan (8.6%) serta keharmonian kaum dan agama (8%).
Berdasarkan kepada kenyataan dan ucapan Anwar dan menteri-menteri Kabinet khususnya peluncuran gagasan Malaysia Madani baru-baru ini, tidak syak lagi kesemua isu terbesar yang menjadi kebimbangan dan pengharapan responden ini sememangnya berada dalam perhatian mereka dan menunggu masa untuk dilaksanakan sahaja.
Ada juga pihak yang tidak mahu menerima kepopularan Anwar sebagai PM dan kerajaan perpaduan dengan membuat dakwaan bahawa Merdeka Center adalah sebuah badan kaji selidik tidak berwibawa kerana dikatakan menyokong PH. Walaupun begitu, banyak sekali kaji selidik dibuatnya selama ini benar-benar mencerminkan apa yang berlaku secara realiti di peringkat akar umbi.
Sebagai contoh, kaji selidik dari 31 hingga 18 November 2022 menunjukkan hampir tepat pilihan pengundi ke atas Anwar sebagai calon PM utama (33%), Muhyiddin (26%) dan Ismail Sabri (17%). Begitu juga jangkaan kedudukan PH (33.6%) mengatasi Perikatan Nasional (PN) 20.3% dan Barisan Nasional (BN) 15.4% yang selari dengan realiti.
Ada juga mempertikaikan bilangan responden yang dikatakan kecil, iaitu 1,209 orang dan didakwa tidak mewakili seluruh rakyat Malaysia. Pihak ini tidak faham metodologi kaji selidik kerana 1,209 responden ini dipilih secara sistematik mengikut random stratified sampling di mana responden dipastikan mencerminkan profil pengundi dari segi umur, etnik, jantina dan kawasan mengundi.
Tegasnya, keputusan kaji selidik ini seharusnya berupaya untuk membenamkan apa-apa pertikaian ke atas penerimaan rakyat terhadap Anwar dan kerajaan perpaduan. Jelas, berdasarkan kaji selidik ini, majoriti besar rakyat sudah mahu bergerak ke hadapan.
83 peratus menerima pemilihan Anwar sebagai PM dan 77 peratus setuju kerajaan perpaduan akan membawa kestabilan dan imej keterangkuman kepada negara adalah bukti nyata bahawa jika ada yang masih mahu mempersoalkan keabsahan Anwar dan kerajaan perpaduan, maka ia hanyalah suara-suara sumbang yang berada di pinggiran. – UTUSAN
DATUK Dr. Wan Hashim Wan Teh ialah Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian & Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Dipetik dari Utusan