BINTULU, 13 Feb — Industri pelancongan dilihat sebagai salah satu langkah terbaik untuk memulihkan ekonomi negara, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing.
(Datuk Seri Tiong King Sing – Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan)
Ahli Parlimen Bintulu itu berkata bagi tujuan itu, setiap pemain dalam industri pelancongan seperti pengusaha hotel, restoran, pusat beli-belah dan lain-lain yang terlibat dalam industri itu perlu meningkatkan kualiti perkhidmatan masing-masing.
“Seperti semua sedia maklum, negara sedang dalam proses pemulihan ekonomi, di mana sektor pelancongan perlu ditingkatkan bagi menarik lebih ramai pelancong dari luar untuk melawat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata Malaysia, seperti negara lain, telah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dan proses pemulihan mesti dilakukan segera selepas sempadan dibuka semula untuk memulihkan ekonominya.
“Pemulihan negara memerlukan kerjasama semua pihak, di mana semua pihak harus bekerjasama untuk mempromosikan sektor pelancongan tempatan. Sektor pelancongan seperti industri lain memerlukan usaha semua pihak khususnya pemain industri pelancongan untuk memulihkan syarikat masing-masing yang terjejas teruk supaya pendapatan mereka kembali normal,” katanya.
Sementara itu, mengulas pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia di pejabat Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan semalam, Tiong berkata banyak isu dibincangkan termasuk langkah berkesan untuk memajukan lagi industri pelancongan di kedua-dua negara.
Beliau berkata, Malaysia dan India mempunyai banyak persamaan terutama dari segi budaya.
“Dengan persamaan ini, hubungan diplomatik kedua-dua negara akan dapat diperkukuh pada masa hadapan terutamanya dalam sektor pelancongan,” katanya. — Borneo Post Online