KUALA LUMPUR, 12 Feb — Putrajaya tidak meluluskan permohonan syarikat Australia, Lynas untuk menarik balik syarat pembaharuan kilang penapisan nadir buminya di Malaysia (bahan buangan radioaktif), lapor akhbar Singapura hari ini.
The Straits Times melaporkan bahawa Lynas tidak lagi dibenarkan menyimpan sisa radioaktifnya dari kilang penapisan di Gebeng, Pahang sebagai sebahagian daripada syarat pembaharuan lesen tiga tahun yang akan berkuat kuasa mulai Julai ini. Pengunguman dari Kabinet Malaysia akan dibuat pada akhir bulan ini.
Ini bermakna bahawa pada masa hadapan, syarikat Australia itu hanya boleh menapis bahan di kilangnya di Malaysia dan mesti mengeksport ke negara lain bahan buangan radioaktif yang dihasilkan di sini.
Lesen Lynas telah diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad pada awal 2020. Lesen itu tamat bulan depan.
Namun Lynas akan diberi masa 30 hari untuk memfailkan rayuannya kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang selepas pemberitahuan rasmi kelak.
(Chang Lih Kang – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi)
Akhbar Singapura itu mendakwa bahawa pelbagai kumpulan pelobi termasuk diplomat dari Australia, Amerika Syarikat, Jepun dan Kesatuan Eropah, telah meminta pertemuan dengan Chang dalam beberapa minggu kebelakangan ini untuk mendapatkan jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengganggu pengeluaran barangan nadir bumi bertapis Lynas yang diperlukan untuk membuat perkara seperti telefon bimbit, bateri boleh dicas semula dan aset tentera.
Kerajaan Malaysia menyokong aktiviti Lynas yang membawa kebaikan ekonomi, namun tidak mampu menentang bantahan rakyat berkenaan hasil buangan radioaktif itu terutama sekali di saat politik yang tidak begitu stabil pada pihak kerajaan. Pilihanraya di enam negeri akan diadakan pada tahun ini.