PETALING JAYA: Baki RM260 juta daripada lebih RM300 juta dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang disyaki diterima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipercayai dibelanjakan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut sumber yang diperoleh oleh Berita Tular, siasatan SPRM kini difokuskan dalam pelbagai sudut untuk mengesan jejak kewangan bagi tujuan mengetahui punca dan aliran wang yang telah dibelanjakan termasuk kemungkinan ia diberikan kepada pemimpin parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan pelbagai kegunaan lain.
Kata sumber, sebahagian daripada dana RM300 juta tersebut dipercayai dimasukkan oleh syarikat-syarikat atau kontraktor ke dalam akaun Bersatu ketika tempoh pemerintahan PN sejak 2020 hingga tahun lalu.
Dua akaun bernilai RM40 juta milik Bersatu yang telah dibekukan sejak 3 minggu lalu mungkin akan berlarutan dalam tempoh tiga bulan sehingga setahun bergantung kepada hasil siasatan SPRM. .
Sumber turut mendedahkan bahawa beberapa ahli Bersatu sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung perkara tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi menegaskan, agensi itu akan memanggil sesiapa sahaja yang ada kaitan dan boleh membantu siasatan. Beliau enggan mendedahkan nama-nama individu yang akan dipanggil selain tidak mahu memberi komen lanjut dengan alasan siasatan masih dijalankan dari pelbagai sudut.
Dalam laporan minggu ini, semakan dalam akaun yang dibekukan hanya menemukan wang RM40 juta manakala bakinya RM260 juta masih dijejaki.
Pembekuan dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Keterangan beberapa individu daripada enam agensi kerajaan diambil SPRM berhubung siasatan pengagihan projek-projek kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sepanjang 2020 hingga tahun lalu. Kata sumber itu, sebanyak lima pemilik syarikat swasta dipanggil dan disiasat termasuk seorang ketua pegawai eksekutif yang ditahan kerana disyaki menjadi ‘orang tengah’. Siasatan SPRM turut memberi fokus kepada sumber kewangan yang diperoleh sebuah parti politik yang dikatakan menerima wang berkenaan bagi tujuan pembiayaan politik. Sepanjang tempoh itu, SPRM telah mengambil keterangan seramai 29 individu.