Bank pusat Nigeria telah melancarkan skim kad domestik untuk menyaingi kad asing seperti Mastercard dan Visa, dengan harapan dapat menjadikan ekonomi terbesar Afrika sebagai masyarakat tanpa tunai dan menjimatkan yuran transaksi asing negara.
Pengumuman pada hari Khamis oleh gabenor Bank Pusat Nigeria (CBN), Godwin Emefiele, susulan pelancaran mata wang digital pertama Afrika, e-naira, pada Oktober 2021.
Emefiele memberitahu semasa pelancaran maya skim kad AfriGo, walaupun peggunaan pembayaran kad di Nigeria telah berkembang sejak beberapa tahun, namun ramai rakyat masih ketinggalan.
“Cabaran yang sedia ada untuk warga Nigeria menggunakan kad antarabangsa termasuk kos perkhidmatan kad yang tinggi akibat daripada keperluan pertukaran asing  dan produk kad sedia ada tidak memberi keistimewaan kepada pasaran tempatan Nigeria,” katanya.
Emefiele berkata Nigeria menyertai langkah negara-negara seperti China, Rusia, India dan Turki dalam melancarkan skim kad domestik. AfriGo adalah dimiliki oleh CBN dan bank Nigeria.
Operasi pembekal perkhidmatan kad antarabangsa seperti Mastercard dan Visa tidak akan ditamatkan di Nigeria katanya, kerana AfriGo bertujuan untuk menyediakan lebih banyak pilihan untuk pengguna domestik dalam “cara yang kos efektif dan berdaya saing”.
Nigeria, ekonomi terbesar di benua Afrika, mempunyai lebih daripada 200 juta orang dan majoriti rakyatnya masih menggunakan wang tunai kerana mereka tinggal di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai bank.
Untuk menggalakkan “kemasukan kewangan” di kawasan terpencil, bank pusat mengumumkan minggu lepas pelancaran program pertukaran tunai yang memperkenalkan versi reka bentuk semula mata wang tempatan, naira.