KLANG, 25 Jan — Menteri Sumber Manusia Datuk Seri V. Sivakumar hari ini berkata tindakan akan diambil terhadap majikan yang tidak menyediakan pekerja asing mereka tempat tinggal yang sempurna.
Walaupun pekerja asing dibawa masuk untuk membekalkan tenaga kerja kepada negara, mereka tidak boleh dipandang remeh dalam mengejar keuntungan, katanya kepada pemberita pagi ini semasa operasi memeriksa keadaan hidup pekerja di Klang.
Ahli Parlimen Batu Gajah itu berkata tindakan akan diambil terhadap majikan yang melakukan kesalahan kerana ia melibatkan isu kebersihan, keselamatan dan kesihatan manusia.
Beliau berkata kesesakan yang berlebihan juga tidak selamat kerana ia membolehkan penyakit mudah merebak seperti semasa pandemik Covid-19.
Beliau memberi contoh di salah satu lokasi, di mana pekerja tidak mempunyai tilam pun langsung.
Rabu lepas, Bernama melaporkan Sivakumar sebagai berkata bahawa 500,000 pekerja asing akan dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat melalui Pelan Mudah Kemasukan Pekerja Asing (Foreign Workers Employment Relaxation Plan), yang akan menangani kekurangan tenaga kerja.
Pelan itu akan membolehkan majikan mengambil pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa perlu mematuhi syarat kuota dan syarat kelayakan pekerjaan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata.