KUALA LUMPUR, 24 Jan — Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata Islamophobia adalah “senjata baharu” yang kini ditegaskan oleh “orientalis” yang mempelajari Islam untuk mencari kesalahan dan kelemahan agama.
Menerusi Facebook malam tadi, Hadi juga berkata Islamofobia digunakan sebagai senjata mental menentang Islam oleh “kerajaan yang dibuat oleh penjajah”, parti politik, kumpulan sekular, dan musuh Islam terutamanya di media internet.
“Islamofobia dihujahkan dengan ucapan kebencian dan permusuhan terhadap Islam, terutama oleh orientalis yang mengkaji Islam bukan berdasarkan ilmu Islam yang sebenar daripada al-Quran, hadis dan ulama Islam terkemuka,” katanya.
Beliau juga berkata bahawa Islamofobia digunakan untuk menghentikan “Islam yang sebenar” daripada mengambil semula kuasa dan mentadbir negara.
Semalam Hadi membuat catatan Facebook mengatakan bahawa orang Cina bukan orang asing baginya, kerana datuknya telah mengambil ramai anak Cina angkat semasa Perang Dunia Kedua dan dia mempunyai mertua Cina.
Tetapi nada sebaliknya disuarakan oleh Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menasihatkan Ahli Parlimen Marang itu supaya banyak-banyak mengucap dan terima hakikat bahawa PN gagal jadi kerajaan walaupun menang banyak kerusi.
Nur Jazlan berkata Hadi cukup popular dengan siri fatwa-fatwa politik yang hanya memberi keuntungan kepada partinya saja. Bila orang buat salah, tapi bila dia buat terus ada dalil untuk menghalalkan semuanya termasuklah yang haram boleh dihalalkan asalkan memberi laba kepada Abdul Hadi dan Pas.
“Baru saja tiga hari lepas Abdul Hadi keluarkan fatwa baharu. Sogok duit kepada pengundi tak dikira rasuah sebaliknya kalau ikutkan hukum Fikah Haji Hadi, ia dianggap sebagai sedekah. Abdul Hadi menghalalkan wang rasuah undi untuk beli undi dan bukan satu dosa besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Nur Jazlan berkata lagi, tindakan Presiden Pas itu bukan satu perkara baharu kerana sering pernah memburukkan parti-parti politik seperti DAP dan PKR meskipun sebelum ini pernah berbaik-baik dalam menjalinkan kerjasama politik.
“Begitu juga dengan UMNO. Selepas PRU14, puji melambung pemimpin-pemimpin UMNO sebab nak bergabung tubuhkan Muafakat Nasional (MN). Malah Abdul Hadi juga pernah beri pujian kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Tapi bila hubungan Pas dan UMNO gagal diteruskan dalam MN, mereka terus bertukar perwatakan. Abdul Hadi sendiri pusing 180 darjah dan mula mencaci serta mencerca UMNO dan pemimpin-pemimpinnya.
“Lepas PRU15, dia kutuk pula UMNO sebab bekerjasama dengan Pakatan Harapan tubuhkan Kerajaan Perpaduan kononnya kerajaan itu tak ikut peraturan Allah dan haram,” katanya yang di petik melalui Utusan Malaysia
Untuk rekod, PAS pernah bekerjasama dengan DAP serta PKR pada PRU10 lalu melalui platform Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) untuk melaksanakan strategi satu lawan satu dalam Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999.