KUALA TERENGGANU: Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menyeru penyokong dan pemimpin Perikatan Nasional (PN) perlu perlu menghentikan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan baharu yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, sebagai pembangkang, PN perlu bertindak secara produktif untuk menjadi pembangkang yang baik.
Beliau meminta PN memainkan peranan untuk menyokong mana yang baik dan bangkang yang silap serta nasihatkan mana yang memerlukan penambahbaikan.
“Kerajaan negeri yang menjadi pembangkang masih memerlukan kerajaan perpaduan yang baharu dibentuk ini.
“Maka, janganlah bakar ‘jambatan’ itu menerusi kata-kata dan tindakan yang kurang berhemah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, PN juga perlu menghentikan tuduhan bahawa kerajaan perpaduan ini adalah kerajaan minoriti.
Khairuddin memberikan fakta iaitu Anwar sebagai Perdana Menteri mewakili Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mewakili Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai Timbalan Perdana Menteri menunjukkan kerajaan ini mempunyai ahli parlimen keseluruhannya seramai 135 orang. Apabila dilantik lagi menteri mewakili Gabungan Rakyat Sarawak (GRS) jumlahnya adalah 141 kerusi. Itu belum dikira lagi Parti Warisan (tiga), Parti Bangsa Malaysia (satu), Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (satu) dan Bebas (dua) yang menjadikan semuanya adalah 148 Ahli Parlimen yang telah mencapai dua pertiga majoriti di Parlimen.
Khairuddin mengesyorkan PN perlu berhenti bernostalgia dan menerima hakikat bahawa PN hanya mendapat 73 kerusi, terlalu jauh untuk membentuk kerajaan yang memerlukan 112 kerusi. Tambahnya lagi, GPS dan GRS sebelum ini bersama PN kerana menyangkakan BN bersedia untuk menyokong untuk membentuk kerajaan, tetapi mereka menarik semula sokongan itu setelah menyedari bahawa ia adalah sokongan sebahagian individu wakil rakyat BN yang ‘dicuri’ dari pintu belakang’, maka mereka beralih sokongan kepada PH dan BN.
“Sekiranya PN masih belum berpuas hati lagi, 19 Disember nanti menunggu mereka untuk mengusulkan sesuatu di Parlimen nanti. Sementara itu terimalah keputusan pembentukan kerajaan perpaduan ini.
“Jika masih mahu menubuhkan kerajaan, pujuklah BN menerusi pintu depan diikuti GPS dan GRS namun berbangkit persoalan bolehkah kerajaan tersebut stabil atau mengulangi pergolakan tahun 2020 hingga 2022,” katanya.