KUALA LUMPUR: Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2022 oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dianjurkan pada Oktober setiap tahun adalah usaha menggalakkan orang ramai membudayakan amalan menabung.
Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, BMS 2022 itu juga selari dengan Sambutan Hari Tabungan Sedunia yang membawa tema ‘Blok’serta mengekalkan tagline ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’.
Jelasnya, usaha itu juga bagi memberikan galakan serta dorongan untuk membudayakan penabungan dan perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi kepada Keluarga Malaysia.
“Bulan menabung Simpan SSPN, amat signifikan dengan Hari Tabungan Sedunia kerana kedua-duanya adalah bertujuan meningkatkan lagi literasi kewangan dan budaya penabungan yang perlu diterapkan dalam diri individu.
Atas semangat ini, PTPTN memilih bulan Oktober untuk menganjurkan BMS pada setiap tahun bermula tahun 2018 dengan pelbagai aktiviti-aktiviti yang kita sediakan untuk menyemarakkan lagi Hari Tabungan Sedunia.
“Tahun ini merupakan tahun kelima PTPTN menganjurkan program ini untuk Keluarga Malaysia,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup BMS 2022 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia pada Ahad.
Pada masa sama, Ahmad Dasuki turut berkongsi pelbagai keistimewaan dan manfaat bagi pendeposit yang membuat simpanan dalam Simpan SSPN dan menggalakkan orang ramai membuka akaun simpanan untuk tabungan masa depan anak-anak.
“Rebutlah segera peluang ini dengan menjadikan hari ini sebagai permulaan untuk membuat simpanan demi masa depan anak-anak anda,” katanya.
Di samping itu, Ahmad Dasuki berkata, bersempena dengan sambutan bulan menabung pada tahun ini, PTPTN turut melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) iaitu Program Junior Superhero Simpan SSPN Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022.
“Melalui program ini, PTPTN memberi sumbangan akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM100 kepada kelahiran bayi baharu bulan Oktober tahun 2022.
“Pelaksanaan program ini adalah bertujuan untuk menanam budaya menabung dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penabungan serta perancangan kewangan sedari awal untuk jaminan masa hadapan bagi tujuan pendidikan tinggi melalui Simpan SSPN,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PTPTN, Apli Yusoff berkata, dalam usaha memperkasakan budaya penabungan, PTPTN turut bekerjasama dengan institusi kewangan dan rakan-rakan strategik dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti sepanjang Oktober 2022 untuk meningkatkan kesedaran dan menyemai pengetahuan mengenai kewangan.
(Apli Yusoff – Pengerusi PTPTN)
“PTPTN akan terus komited untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat untuk terus menabung di dalam Simpan SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman. PTPTN yakin usaha ini akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara,” katanya.
Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan semasa Majlis Penutup BMS 2022 termasuk perkongsian daripada selebriti Amyra Rosli dan Amar Baharin tentang manfaat membuat simpanan tabungan pendidikan anak-anak di Simpan SSPN.
Sepanjang program BMS 2022 berlangsung, PTPTN mensasarkan terimaan deposit Simpan SSPN berjumlah RM150 juta.
Bagi tempoh 1 sehingga 28 Oktober, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah RM144 juta atau 96 peratus berbanding RM150 juta yang disasarkan.
What’s your Reaction?
+1
+1
+1
+1
+1
+1
+1