Shah Alam : Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Datuk Zuraida Kamaruddin yakin keputusan parti yang diterajui beliau untuk menjadi komponen Barisan Nasional (BN) akan menjadi terjawab pada 5 Nov ini.
“‘Friends of BN’ kita kena jadi kawan sekarang (sebelum PRU15), tak boleh kemudian (selepas PRU15). Jadi kawan kemudian (selepas PRU15) sudah jadi cerita lain, jadi (kena) kawan sekarang. Kita tunggulah hari penamaan calon,” katanya kepada wartawan hari ini.
Sebelum ini, PBM dilaporkan menghantar permohonan rasmi untuk menyertai BN bagi menghadapi PRU15, namun sehingga kini pimpinan gabungan itu dilaporkan masih memperhalusinya bersama permohonan beberapa parti lain.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu menegaskan, PBM sedia menyertai gabungan berkenaan sebagai ‘Friends of BN’, namun jalinan kerjasama itu perlu dimuktamadkan sebelum PRU15 ini.
Friends of BN dianggotai Parti Makkal Sakti, Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).
Ditanya kemungkinan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar beralih ke Parlimen Ampang pada PRU15 kali ini, Zuraida berkata, beliau menyambut baik hasrat penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh itu.
“Ini negara demokrasi, sesiapa pun boleh datang dan bertanding di Ampang. Semua dialu-alukan ke Ampang,” katanya yang akan mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan pada PRU15 ini.
Zuraida yang juga bekas Naib Presiden PKR turut mengucapkan selamat maju jaya kepada bekas Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding di Parlimen Tambun pada PRU15 ini.