SHAH ALAM: Umno dan Barisan Nasional (BN) hari ini memutuskan untuk bertanding secara solo pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini susulan keputusan PAS memperkukuh kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) untuk pilihan raya akan datang.
“Dengan itu, Umno bersama BN akan bergerak secara solo dengan menjaga imej parti yang selama ini mementingkan kesederhanaan dan mampu memulihkan kestabilan dan kemakmuran rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata parti itu telah memutuskan untuk mengukuhkan kerjasama dalam PN bagi menyatukan ummah dan keputusan itu dibuat semasa mesyuarat jawatankuasa kerja pusat parti hari ini.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata Umno hanya akan kembali ke meja rundingan dengan PAS sekiranya PAS memenuhi tiga syarat iaitu PAS mesti meninggalkan PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu dan secara rasmi mengisytiharkan parti itu telah “mufarakah” (berpisah) daripada PN dan Bersatu.
Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata walaupun sudah menjangkakan keputusan PAS, parti itu tidak pernah menutup pintu usaha menyatupadukan ummah dengan penuh keikhlasan dan kejujuran.
Sementara itu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya, berkata keputusan PAS untuk kekal bersama PN telah menaikkan semangat gabungan itu untuk lebih tersusun dan bersatu dalam meraih sokongan rakyat.
“Secara peribadi, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas semangat persahabatan yang ditunjukkan oleh YB Tan Sri Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan pemimpin PAS yang telah menyokong langkah parti itu bekerjasama dengan PN,” katanya.
Presiden Bersatu itu juga berharap PN mendapat mandat rakyat pada PRU15 untuk membentuk kerajaan yang benar-benar menumpukan kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.