SHAH ALAM: Kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi tol lebuh raya di bawah Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) bagi mengurangkan kadar tol lebuh raya terbabit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata penurunan kadar tol itu melibatkan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Bersurai Kajang (SILK), berkuat kuasa 12.01 pagi 20 Okt.
Sementara itu, pengurangan tol Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) di bawah IJM Corporation Berhad akan berkuat kuasa mulai 1 Jan 2023.
“Semua kerja penambahbaikan yang saya umumkan sebentar tadi mengambil kira penstrukturan semula kadar tol dengan perjanjian konsesi sedang dimuktamadkan.
“Melalui penstrukturan terbaharu itu, kerajaan akan menjimatkan RM8.8 bilion dalam anggaran pampasan yang sepatutnya dibayar kepada syarikat konsesi terbabit. Pengguna lebuh raya akan menikmati kadar yang lebih rendah dan meringankan beban mereka.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), di sini hari ini.
Selain itu, Ismail Sabri berkata dalam usaha menampung trafik yang tinggi dan menangani masalah kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Tol Plaza Gombak ke Tol Plaza Bentong, kerajaan akan membina tambahan lorong dan terowong baru di Genting Sempah.
Beliau berkata kerja-kerja tebatan banjir di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) juga akan dijalankan memandangkan banjir sering berlaku di lebuh raya itu.