Bersatu yang pernah menggegar persada politik tanahair kini berada di dalam posisi yang sukar.
Bersatu perlu kekal relevan jika inginkan kesinambungan parti itu terus wujud dalam persada politik negara. Rata-rata ahli Bersatu tidak mahu ia terkubur seperti Semangat 46.
PRU15 amat penting kerana bayangan parti dominan dan lama seperti BN, PAS, DAP serta PKR akan mengatasi pengaruh Bersatu pada pilihanraya kali ini.
Bersatu perlu akui pengikutnya juga sudah berkurangan kerana serpihan ahli-ahlinya telah mengikut parti Pejuang, daripada pengasas Bersatu juga iaitu Tun Dr Mahathir Mohammad.
Di mata rakyat, ada di kalangan mereka yang suka pada imej ‘Abah’ Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membawa naratif kerajaan prihatin.
(Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin)
Namun jangan dilupa bahawa sebahagian rakyat lagi menganggap Bersatu sebagai parti pengkhianat mandat PRU14 melalui Langkah Sheraton dahulu, dan juga kerana memberi peluang kepada BN kembali memegang tampuk pemerintahan negara.
Bersatu tidak lagi boleh mengharapkan ‘same level playing field’ atau pun corak permainan yang sama pada PRU14 lalu. Kaum bukan Melayu tidak akan bersama Bersatu pada PRU kali ini kerana ia bukan lagi sebahagian dari PH. Sebahagian lagi orang Melayu pula mengikut Tun Dr Mahathir atau parti UMNO yang mempunyai ahli-ahli yang setia.
Jadi bagaimana untuk mengurangkan cabaran ini ?
Bersatu jangan mensia-siakan pemimpin-pemimpin Bersatu yang ada, yang bersih, dan boleh memimpin parti itu. Jangan akibat ego kerana ingin mengejar jawatan, segala timbang-tara kemenangan dan kekalahan diketepikan.
Jangan kerana dendam Bersatu membuat keputusan yang merugikan. Yang penting sekarang adalah ‘numbers’ dan strategi yang membolehkan Bersatu kekal bersama gabungan yang menang untuk terus kekal relevan.
Bersatu tidak diposisi untuk menjelmakan diri mereka sebagai parti yang kuat untuk mengambil jawatan Perdana Menteri. PRU15 ini Bersatu harus memfokuskan semula kekuatan parti kearah membina kekuatan akar umbinya yang terabai.
Pemimpin-pemimpin tertinggi Bersatu perlu akui bahawa jentera, kewangan dan ahli-ahli mereka adalah terhad, jadi ini amat penting untuk berganding bahu bersama gabungan yang mempunyai sumber-sumber yang disebut di atas.
Bersatu perlu bertanding semula di kerusi-kerusi yang telah mereka menang pada PRU14 lalu. Ini akan mengekalkan kemenangan dan memberi negotiation power kepada Bersatu dalam membentuk kerajaan selepas pilihanraya kelak.
Pada masa yang sama, elakkan bertanding pada kerusi yang boleh bertembung dengan rakan gabungan. Jika masih berkeras untuk bertanding di semua kawasan, maka dengan siapa pun Bersatu tidak akan dapat bekerjasama.
Bersatu perlu kembali berpaut kepada penyatuan parti-parti Melayu, penyatuan orang Melayu. Ini salah satu cara untuk memastikan kerajaan Melayu bermajoriti kukuh, serta dapat mentadbir semula Malaysia dengan stabil.
Semua dasar-dasar bumiputera serta agama Islam dapat diperkasakan semula dan tidak boleh diperkotak-katikkan sewenang-wenangnya oleh parti-parti yang liberal dan majmuk seperti PKR mahupun DAP.
Bak aturan dunia “jika kita kuat, orang akan meminta-minta dengan kita, bukan menjauh. Manakala jika kita lemah pula, kita perlulah bijak merencanakan diri untuk membawa kemenangan”. Maka setelah menang, agenda parti dapat diteruskan.
Akhir kata, Bersatu wajib kekal relevan di persada politik tanahair sebagai satu lagi wadah perjuangan untuk bangsa pribumi di negara tercinta ini.
Penyatuan Melayu
Johor Bahru