KUALA LUMPUR, 24 Ogos — Petisyen secara online yang ditujukan kepada Istana Negara memohon Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak sebarang peluang untuk mengampuni bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dilancarkan hari ini oleh pihak Bersih.
Petisyen yang dimulakan oleh badan pemantau bebas pilihan raya itu, telah memperoleh hampir 2,000 tandatangan daripada 2,500 sasarannya di laman web change.org, laman web popular untuk menganjurkan petisyen digital.
“Kami, rakyat setia pada anda, dengan rendah hati merayu kepada Tuanku, supaya tidak menggunakan budi bicara anda untuk mengampuni bekas Perdana Menteri Najib Abdul Razak atas jenayahnya terhadap rakyat Malaysia. Beliau telah disabitkan kesalahan mencuri dana awam dalam kes SRC International dan telah “Sebagai rakyat, kita terpaksa menanggung kesan rasuah oleh pegawai-pegawai (kerajaan) yang memperkayakan diri mereka dengan kekayaan negara dan bukannya menggunakannya untuk membangunkan negara ini,” tulis dalam petisyen itu.
Petisyen itu berkata Najib telah “membawa aib” kepada negara, dan sebagai sebuah negara, Malaysia tidak boleh bertolak ansur dengan rasuah, walau “siapa pun orang itu”. “Biarkan Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun dan membayar denda RM210 juta supaya menjadi contoh kepada mana-mana pemimpin yang menganggap mereka boleh menyalahgunakan kedudukan mereka secara rasuah,” tambah petisyen itu.
Pengampunan diraja adalah di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan Agong atau Sultan kuasa untuk memberikan pengampunan atau penangguhan hukuman kepada banduan, menghapuskan apa-apa hukuman undang-undang untuk membersihkan yang dituduh.