PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menempelak sindiran segelintir warganet terutama perokok tegar yang mendakwa konon arak dan gula lebih bahaya daripada rokok.
Beliau dalam nada serius meminta masyarakat berfikiran rasional dan melihat nasib menimpa pesakit akibat ketagihan rokok selain menilai fakta dari segi saintifik.
Pada masa sama, kumpulan perokok tidak berpuas hati dengan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 juga diseru memikirkan generasi akan datang.
“Saya tidak pernah kata arak dan gula itu baik, tetapi pernah kita jumpa si peminum arak dan banyak makan gula ini menyusahkan pula hidup orang lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
RUU itu bakal dibentang di Dewan Rakyat pada Isnin ini untuk bacaan kali kedua sebelum dibahas dan pengundian pada keesokan hari dengan penguatkuasaan bermula menjelang 2025.
Malaysia menjadi negara kedua di dunia selepas New Zealand yang menggubal perundangan khas ke atas produk rokok termasuk peranti elektronik bagi membendung gejala tidak sihat itu.
Akta tersebut malahan akan bertindak bagi melindungi individu lahir pada 2007 ke atas menjadi generasi pertama yang tidak merokok sepenuhnya di negara ini selain kawal selia lebih ketat.
Ketika ini, dianggarkan terdapat hampir 5.4 juta perokok di seluruh Malaysia dan RUU tersebut buat julung kali bakal meliputi penjualan vape yang selama ini bebas tanpa ada kawal selia.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, perokok bukan setakat menyusahkan hidup mereka sendiri tetapi mengakibatkan individu sekeliling turut menerima padah akibat asap beracun dilepaskan.
“Kalau setakat perokok itu merosakkan paru-paru dia seorang mungkin tiada masalah, tetapi orang sekitar terutamanya ahli keluarga pun dapat penyakit akibat perangai jelik dia,” katanya.
Keadaan itu ternyata berbeza dibandingkan kes arak yang hanya mabuk melibatkan peminum itu sahaja manakala gula pula cuma menyebabkan penyakit diabetes kepada pengamalnya.
Sehubungan itu, beliau meminta perokok memikirkan masa depan pasangan dan anak-anak yang menjadi mangsa apabila bahan toksik dihembuskan boleh mencetuskan isu ketagihan.
Apatah lagi, ujarnya, nikotin dalam tembakau dan vape sebenarnya 80 peratus lebih bahaya daripada substans kimia lain selain asap bahan itu merosakkan otak dalam tempoh 10 saat.
Justeru katanya, kelompok yang dianggap sebagai perokok pasif itu sebenarnya lebih terdedah risiko teruk untuk menghidap komplikasi pelbagai penyakit jantung, paru-paru dan barah.
Dalam nada kecewa, beliau mempersoalkan apakah golongan perokok berasa amat bangga berjaya merosakkan situasi kesihatan orang lain dan tidak rasa bersalah menjadi penyebab.
“Sekiranya kita ada maklumat bahaya rokok ini lebih 50 tahun lalu, sudah tentu kerajaan telah lama mengharamkan rokok dan anggap produk ini sama bahaya seperti dadah,” tegasnya.