Kuala Lumpur 26 Julai : Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak telah mengesahkan pelantikan Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew and Partners sebagai peguam cara untuk rayuan kes beliau yang akan didengari 2 minggu dari hari ini.
(Zaid Ibrahim juga merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri)
Pertukaran peguambela Najib dibuat selepas Peguam Permaisuri (Queen Council) Jonathan Laidlow dari England tidak diterima untuk mewakili dirinya oleh badan kehakiman Malaysia, dan selepas Najib berunding dengan peguam di Singapura dan peguam bela kanan India mengenai perkara itu.
Pelantikan tersebut berkuat kuasa mulai Isnin (25 Julai).
Datuk Seri Najib menyatakan keyakinan bahawa pasukan baharu yang telah dilantiknya untuk merayu itu akan membawa perspektif berbeza dan segar kepada pertahanannya.
Tuduhan kes dan konflik kepentingan adalah serius di dalam kes ini menurut Najib, sama ada di sebelah hakim dan di pihak yang lain.
Permohonan itu difailkan di mahkamah. Datuk Seri Najib tidak mahu mengulas mengenai rayuannya kerana perkara itu kini belum selesai dan kini di hadapan Mahkamah Persekutuan.
Pada waktu yang sama, Ahli Parlimen Pekan itu telah memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti baharu, yang dikemukakan untuk pengurusan kes Jumaat ini (29 Julai).
Bukti tambahan berkaitan dengan dakwaan konflik kepentingan hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, ketika beliau berkhidmat sebagai peguam am dan setiausaha syarikat Kumpulan Maybank pada 2006, yang didakwa Najib telah menimbulkan berat sebelah kepada keputusan hakim ke atasdirinya.
Namun, pihak pendakwaan berhujah bahawa permohonan itu tidak lain hanyalah sebagai ‘membeli masa’.
Najib juga berkata, Shafee & Co, dan bekas peguambela utamanya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah akan terus menjadi peguam cara dan peguam bela dalam semua kes lain yang melibatkan dirinya.
Datuk Seri Najib juga merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan peguamnya atas komitmen dan usaha berterusan mereka dalam memastikan beliau diberi perbicaraan yang adil.
Beliau juga ingin menyatakan bahawa adalah tidak adil bagi media untuk membuat kesimpulan atau melaporkan bahawa Shafee dan Co telah “diusir” atau “dibuang”.
Najib berkata beliau akan mengikuti langkah seperti rakyat Malaysia yang lain untuk mematuhi dan yakin dengan sistem perundangan Malaysia dan proses perundangan untuk membuktikan dirinya tidak bersalah, dan berharap diberikan keadilan yang patut diterima seperti semua rakyat Malaysia di dalam undang-undang termasuk dirinya.