KUALA LUMPUR, 16 Julai ― Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berbangga dengan penguasaan bahasa Malaysia, malah menganggapnya sebagai bahasa terbaiknya, malah berbanding bahasa Mandarin.
Loke yang berasal dari Seremban memberitahu portal berita The Vibes bahawa mempelajari bahasa Malaysia dari zaman sekolah rendahnya sangat bermakna dan ia adalah bahasa pertama yang dia fasih, dan paling selesa.
“Saya rasa bahasa terbaik saya di antara ketiga-tiganya sebenarnya adalah Bahasa Malaysia, diikuti mungkin bahasa Inggeris dan Mandarin.
“Sejak sekolah rendah, saya dididik dalam bahasa Melayu. Dan apabila anda menguasai bahasa kebangsaan, anda mula menghargai kepentingannya,” katanya.
Loke begitu selesa bercakap dalam bahasa Melayu sehinggakan dia tidak begitu fasih menyampaikan ucapan dalam bahasa Mandarin apabila dijemput ke majlis masyarakat Cina pada permulaan karier politiknya.
Loke berkata kefasihannya dalam BM berjaya memupuk hubungan yang lebih rapat dengan pengundi Melayu di Seremban, yang membentuk kira-kira separuh daripada daftar pemilih.
“Dulu orang kata mengetahui bahasa Malaysia tidak penting kerana penggunaannya hanya terhad di Malaysia dan, sedikit sebanyak, Indonesia.
“Tetapi sebagai ahli politik, saya rasa ia amat berguna apabila saya berkomunikasi dengan pengundi Melayu saya. Sebaik sahaja anda bercakap bahasa mereka, anda memperoleh keyakinan dan penghormatan mereka,” kata bekas menteri pengangkutan kepada portal berita, sambil menambah bahawa adalah penting bagi ahli politik bukan Melayu untuk menguasai bahasa itu.
Loke berkata beliau mengambil nasihat orang di sekelilingnya untuk menguasai bahasa Mandarin ketika kerjaya politiknya bermula, tetapi dia masih percaya bahawa kefasihan dalam BM adalah lebih penting kerana bahasa rasmi Malaysia digunakan dalam persidangan DUN dan Parlimen.
“Sudah tentu, sesetengah orang berkata ‘anda seorang ahli politik Cina, anda mesti boleh bercakap dalam bahasa Mandarin’. Tapi saya kata syarat pertama bercakap dalam bahasa Melayu, sebab bila jadi ADUN atau MP, kena cakap bahasa tu bila masuk Dewan, bukan Mandarin.
“Saya tidak mengatakan bahasa Mandarin tidak penting. Sepanjang perjalanan, saya mengambil bahasa Mandarin juga. Saya pergi ke kelas dan tuisyen supaya saya boleh bercakap dalam Bahasa Malaysia, Mandarin, dan Inggeris,” katanya dipetik.
Loke menjadi ADUN sejak 2004, masing-masing dua penggal di Lobak dan Chennah di Negri Sembilan.
Beliau juga ahli parlimen penggal ketiga, berkhidmat satu penggal di Rasah dari 2008, dan mewakili Seremban sejak 2013.