Pagoh 4 Julai : Jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) amat relevan dengan situasi semasa negara. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Armada (Pemuda) Bersatu Johor, Muhd Shamsuddin Paijan berkata, dalam suasana negara yang turut dipengaruhi peristiwa dunia sekarang, Perdana Menteri memerlukan bantuan dari seorang Timbalan Perdana Menteri dari segi tugasan dan tanggungjawab untuk dilaksanakan dengan sempurna.
Shamsuddin tidak menyarankan kepada rombakan kabinet, tetapi cukup dengan hanya melantik TPM bagi memperkukuhkan pentadbiran kerajaan seperti memastikan semua program untuk memulihkan sosioekonomi, kos barangan, dan mensejahterakan rakyat menerusi inisiatif pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19 dapat dicapai.
Kenyataan dari Bersatu ini muncul selepas Datuk Seri Najib Tun Razak menasihati Perdana Menteri supaya tidak melayan tuntutan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menuntut lantikan Timbalan Perdana Menteri serta menteri dari gabungan Perikatan Nasional (PN).